Perdana Menteri mahu Harimau Malaya jadi gergasi Asia

Perdana Menteri mahu Harimau Malaya jadi gergasi Asia

SKUAD Harimau Malaya masih mempunyai misi mencari tempat ke pusingan akhir Piala Asia 2027 biarpun sudahpun tersingkir daripada kelayakan Piala Dunia 2026, minggu lalu. – IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentangkan struktur organisasi pengurusan pasukan kebangsaan.

FAM dalam satu kenyataan berkata, pertemuan itu bertujuan bagi mengangkat pasukan Harimau Malaya menjadi salah satu pasukan gergasi di rantau Asia.

“Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM serta warga FAM menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas pengumuman peruntukan sebanyak RM15 juta bagi memperkasakan pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.

“Sudah tentu FAM sangat berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen daripada Datuk Seri Anwar dalam memberikan peruntukan tersebut selain beliau sendiri menyatakan secara peribadi untuk memantau dan membantu dalam usaha memperkukuhkan pasukan Harimau Malaya.

“FAM seterusnya akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar untuk membentangkan struktur organisasi pengurusan pasukan kebangsaan bagi merealisasikan usaha ini dengan satu tujuan iaitu untuk mengangkat pasukan Harimau Malaya menjadi salah satu pasukan gergasi di rantau Asia,” kata FAM.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi memperkasakan pasukan bola sepak negara.

Anwar berkata, peruntukan sebanyak RM10 juta adalah daripada kerajaan manakala RM5 juta lagi komitmen daripada syarikat swasta khusus untuk kebajikan, latihan dan pengurusan pasukan berkenaan.

“Pada hari ini (semalam), mengenangkan banyak masalah dan rakyat terutama orang muda minat mengenai bola sepak, saya mengambil keputusan untuk secara peribadi memantau dan membantu memperkukuh pasukan Harimau Malaya di Malaysia.

“RM15 juta khusus untuk pasukan Harimau Malaya, pengurus, jurulatihnya yang terbaik supaya beberapa tahun kita dapat angkat Harimau Malaya di antara gergasi di Asia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN