LYON: Pengendali Perancis, Didier Deschamps menegaskan kemenangan 2-0 ke atas Belgium dalam saingan Liga Negara-Negara membuktikan pasukannya sudah bangkit.
Menurut Deschamps, kejayaan mengutip tiga mata penuh itu juga memadam aksi hambar pasukan Les Bleus ketika tewas di tangan Itali di Paris Sabtu lalu.
“Sudah tentu saya gembira dengan reaksi kami dan kemampuan menentang skuad handal seperti Belgium yang menekan kami pada 20 minit pertama namun kami mampu akhiri perlawanan sebagai pemenang.
“Tetapi prestasi kami pada Sabtu lalu bukanlah yang terburuk dan saya tak kata semuanya kini bagus. Semuanya sudah diperbaiki,” kata Deschamps.
Pada aksi di Parc Olympique Lyonnais, Randal Kolo Muani dan Ousmane Dembele mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-30 serta m-57 untuk memberi kemenangan kepada Perancis.
Perlawanan semalam adalah ulangan peringkat 16 terbaik Euro 2024 yang dimenangi Perancis 1-0 di Duesseldorf hasil jaringan sendiri pada lewat permainan.
Itali kini menduduki tangga teratas Kumpulan A2 dengan enam mata selepas menewaskan Israel 2-1 manakala Perancis dan Belgium masing-masing berkongsi tiga mata.
Aksi Liga Negara-Negara akan kembali bersambung pada Oktober depan, menyaksikan Itali menentang Belgium di Rom dan Israel berdepan Perancis di Budapest.-AGENSI