PETALING JAYA: Pemain Lubnan, Mohamad Haidar mempersoal beberapa keputusan pengadil, Thoriq Munir Alkatiri ketika pasukannya tewas 1-0 pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024.
Tonggak berusia 34 tahun itu menganggap pengadil dari Indonesia seolah-olah mahu membantu Malaysia bergelar juara, selain turut mempertikai tindakan Thoriq membabitkan insiden pada minit ke-78.
Tegasnya, pengadil seharusnya memberhentikan perlawanan ketika itu yang mana salah seorang pemain Harimau Malaya mengalami kecederaan namun perkara sebaliknya berlaku.
“Pada separuh masa kedua, pengadil seolah-olah memberi hadiah kepada Malaysia. Beliau (pengadil) membunuh perlawanan. Kami sudah beraksi dengan ‘fairplay’ sejak permulaan permainan.
“Beliau perlu mengawal perlawanan dengan lebih baik. Kami sudah menghentikan permainan kerana pemain mengalami kecederaan namun kenapa beliau tidak menghentikan perlawanan?
“Apa pun ia perlawanan yang baik buat kami. Saya harap kami boleh memberikan aksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” katanya.
Insiden pada minit ke-78 itu mencetuskan ketegangan apabila pemain Lubnan dilihat sudah memberhentikan permainan ketika salah seorang pemain Malaysia mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, Akhyar Rashid yang pada mulanya dilihat memberi isyarat mahu mengeluarkan bola bertindak membuat hantaran kepada Arif Aiman Hanapi sebelum bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dikasari Khalil Khamis.
Kekasaran yang dilakukan Khalil ke atas Arif Aiman menyebabkan Lubnan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila dia dilayangkan kad kuning kedua.
Situasi itu turut mencetuskan suasana panas di bangku simpanan membabitkan pegawai kedua-dua pasukan dengan pengendali Lubnan, Miodrag Radulovic dilihat tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.
“Kami tidak berpuas hati dengan kriteria (tindakan) pengadil dan kami datang ke kejohanan persahabatan dengan fairplay. Beberapa situasi tidak jelas, tetapi tidak mengapa ia berlaku dalam bola sepak,” kata Radulovic selepas perlawanan.-UTUSAN