PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu merangka strategi terbaik sekiranya berhasrat membawa masuk lebih ramai pemain warisan mewakili Harimau Malaya.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pengambilan pemain warisan mampu memberi keputusan segera, namun FAM perlu jelas selama mana kebergantungan kepada mereka diperlukan.
Katanya lagi, FAM perlu berhati-hati dalam misi mencari pemain warisan dan tidak boleh dilakukan secara sembrono bagi mengelak tersalah langkah memilih pemain tidak berkualiti.
Dalam masa yang sama katanya, badan induk bola sepak Malaysia itu perlu mengutamakan pembangunan bola sepak agar struktur bola sepak mempunyai kesinambungan.
“Tidak dinafikan pemain warisan merupakan jalan pintas yang kita ada. Tidak salah untuk menggunakan alternatif ini kerana pencapaian bola sepak negara sudah lama merundum.
“Bagaimanapun, FAM tidak boleh terlalu bergantung kepada pemain ini. Kalau capai matlamat orang akan menerimanya dengan baik dan jika tidak kecaman teruk akan diterima.
“FAM perlu jelas sehingga bila pemain warisan ini diperlukan. Tiga, lima tahun atau tempoh yang lebih lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan FAM digesa bertindak lebih proaktif mengambil pemain warisan menyertai skuad Harimau Malaya selepas terdapat deretan senarai nama yang didakwa mempunyai darah kacukan dengan Malaysia didedahkan.
Dalam pada itu, Pekan berharap kebergantungan terhadap pemain warisan tidak terlalu tinggi dan bukan untuk jangka masa panjang kerana dikhuatiri akan merosakkan ekosistem bola sepak negara.
“Penggunaan pemain warisan perlu berhati-hati supaya tidak membunuh bola sepak negara secara tidak langsung. Ini kerana ia seolah-olah bakat pemain tempatan dipandang rendah.
“Keghairahan menggunakan pemain warisan juga boleh mengecilkan peluang pemain tempatan untuk mewakili Malaysia kerana mereka sudah tidak nampak jalannya,” katanya.-UTUSAN