PETALING JAYA: Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bangga atas pencapaian mereka mara ke peringkat akhir kejohanan bertaraf Super 500 ke atas buat kali pertama.
Menurut Tang Jie, selepas berakhirnya temasya Sukan Olimpik Paris 2024, beliau bersama Ee Wei mengakui berdepan situasi sukar untuk bangkit semula kerana terlalu ‘memasang’ impian berikutan terlalu mahukan pencapaian terbaik pada acara berprestij berkenaan.
“Selepas Olimpik sukar untuk kami bangkit semula. Jadi kami cuba mencari semula diri kami untuk bangkit semula.
“Bagi kami, mara ke final (Terbuka Korea) ini satu pencapaian baharu kerana kami tidak pernah mara ke final kejohanan lebih tinggi daripada Super 300,” kata Tang Jie.
Semalam, beregu No.9 dunia itu mempamerkan aksi cemerlang di Stadium Tertutup Mokpo, mengatasi cabaran beregu China, Cheng Xing-Zhang Chi 22-20, 21-19 dalam tempoh 50 minit untuk melangkah ke pentas akhir Terbuka Korea Selatan 2024.
Di atas kertas Tang Jie-Ee Wei dilihat berpotensi untuk mengungguli kejohanan terbabit dalam pertemuan sulung mereka menentang gandingan China, Guo Xin Wa-Li Qian pada perlawanan akhir hari ini.
Bagaimanapun, Tang Jie berkata keupayaan gandingan ke-241 dunia itu tidak seharusnya diperkecilkan susulan sebelum itu merangkul gelaran Master China Super 100 sebelum dipisahkan Mac lalu.
Selepas itu, Xin Wa digandingkan bersama Chen Fang Hui bermula di Terbuka Thailand yang menyaksikan mereka muncul juara dan naib juara di Terbuka Australia, Jun lalu.
“Kami tidak dapat menonton perlawanan pasangan China itu, kerana sedang bersiap untuk turun ke gelanggang. Jadi saya akan berbincang dengan pasangan dan jurulatih selepas ini untuk mempersiapkan diri ke perlawanan akhir,” ujar Tang Jie.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Tang Jie-Ee Wei di kejohanan bertaraf lebih tinggi dari Super 300, adalah mara ke separuh akhir Terbuka Singapura 2023 (Super750), separuh akhir Terbuka China 2023 (Super 1,000), separuh akhir Terbuka Arctic 2023 (Super 500), dan separuh akhir Masters Malaysia 2024 (Super 500).-UTUSAN