Pearly-Thinaah intai gelaranTerbuka China

Pearly-Thinaah intai gelaranTerbuka China

PEARLY-THINAAH akan beraksi di Terbuka China yang bermula hari ini di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah mahu meneruskan momentum kemenangan di Terbuka China yang bermula hari ini.

Biarpun masih segar dengan kejayaan di Terbuka Hong Kong kelmarin, Pearly-Thinaah mahu lebih berhati-hati kerana sedar saingan di kejohanan itu lebih mencabar.

Menurut Thinaah, beliau mahu memberi fokus sepenuhnya dan mengelak kesilapan memberi mata mudah kepada lawan berulang di kejohanan berstatus Super 1000 itu.

“Ketika itu (final Terbuka Hong Kong) kami mahu menamatkan permainan dengan lebih cepat. Kami melakukan kesilapan mudah yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Kami akan memberi perhatian kepada perkara itu dan lebih berhati-hati selepas ini dalam gelanggang,” kata Thinaah.

Kelmarin, gandingan No. 8 dunia itu menjadi beregu wanita pertama Malaysia merangkul gelaran Terbuka Hong Kong selepas menewaskan pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning 21-14, 21-14.

Sementara itu, Pearly mahu meneruskan komunikasi baik beliau bersama Thinaah ketika beraksi di dalam gelanggang.

Menurut beliau, itu merupakan salah satu kunci kejayaannya bersama Thinaah untuk memungut lebih banyak mata berharga semasa perlawanan berlangsung.

“Perlawanan kelmarin (Terbuka Hong Kong) sangat berlainan dari sebelum ini. Kami lebih banyak berkomunikasi antara satu sama lain ketika itu.

“Saya fikir ini banyak membantu kami dalam perlawanan sekali gus menjadi kepentingan kami ketika permainan bermula,” kata Pearly.

Untuk rekod, pada Terbuka China edisi lalu, Pearly-Thinaah terkandas seawal pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-16, 21-16.

Terbuka China dijadualkan berlangsung bermula hari ini sehingga 22 September di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, China.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN