PETALING JAYA: Selangor FC dijangka mempertaruhkan gandingan import baharu, Ali Olwan bersama Ronnie Fernandez bagi menghadapi kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) yang bakal bermula pada Khamis ini.
Olwan dilihat mampu menjadi aset terbaharu Selangor FC apabila memberi impak segera selepas berjaya membuka akaun gol dalam penampilan pertamanya dalam aksi Liga Super ketika melakar kemenangan 4-0 ke atas Kuching City FC, semalam.
Penyerang Jordan itu turut mencipta gerakan gol ketika membantu Fernandez meledak gol pertama perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh Olwan walaupun pada mulanya berasa bimbang tidak cukup rehat.
“Dia (Olwan) pemain terbaik. Dia baharu sahaja beraksi dua perlawanan dengan Jordan dan menyertai kita dua atau tiga hari lalu, kita risau dia belum mendapatkan rehat secukupnya.
“Bagaimanapun, kita kira risiko kecederaannya dan saya rasa berbaloi sebab dia menjaringkan gol dengan baik malah aksi pertamanya dia dapat beraksi dengan bagus. Saya gembira untuk Olwan..
“Sudah tentu kemenangan ini membangkitkan motivasi pemain tetapi beraksi di pentas Asia sangat berbeza kerana pesaing adalah pasukan terbaik di Asia. Kita kena tingkatkan banyak perkara untuk bersaing di pentas lebih tinggi,” katanya.
Terdahulu, Olwan beraksi bersama Jordan dalam kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dengan menentang Kuwait seri 1-1 pada 5 September lalu sebelum menewaskan Palestin 3-1 (10 September).
Selangor FC dijadual menentang kelab Thailand, Muangthong United dalam aksi pembukaan Kumpulan H ACL2 di Stadium Thunderdome, Nonthaburi pada Khamis ini.
Sementara itu, jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengambil tanggungjawab sepenuhnya susulan kekalahan besar yang dialami mereka.
“Berdasarkan keputusan perlawanan, saya bersimpati dengan pemain tetapi saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya. Banyak kerja perlu dilakukan dan saya berharap kami dapat meningkat pada aksi seterusnya,” katanya.- UTUSAN