Negeri Sembilan perlukan seorang lagi penyerang import - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan perlukan seorang lagi penyerang import

PENYERANG import Negeri Sembilan, Miguel Angel Junco Martinez (tengah) yang masih belum memberikan impak berkesan kepada pasukan dan hanya menjaringkan satu gol selepas Sembilan perlawanan.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan FC, K. Nanthakumar mengakui pasukan itu memerlukan seorang lagi pemain import di bahagian serangan yang lebih berkualiti bagi membolehkan mereka bersaing bagi baki saingan Liga Super.

Ia selepas pasukan Hobin Jang Hobin itu mencatatkan kekalahan ketujuh semalam dan kali ini kepada pasukan Perak FC dengan keputusan 1-0 dalam aksi di gelanggang sendiri.

“Memang saya memerlukan seorang penyerang import, lihat Perak mereka mempunyai penyerang import yang boleh ‘memegang’ bola dan memenangi bola tinggi, memang kami memerlukan penyerang sebegitu selepas  Mika Junco belum capai apa yang kami harapkan.

“Mungkin perubahan akan berlaku selepas perlawanan dengan Perak ini, mungkin ada dua pemain import baharu dan diharapkan kehadiran mereka dapat memberikan semangat dan kami dapat bina semula pasukan. Perbincangan sedang dijalankan dan kami menunggu keputusan yang akan dibuat pengurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perlawanan di antara Negeri Sembilan dan Perak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini semalam.

Pada perlawanan itu, pasukan pelawat meraih tiga mata berharga menerusi gol tunggal yang dijaringkan oleh Clayton Da Silviera Da Silva pada minit ke-47.

Bagi pengendali Perak, Yusry Che Lah pula, tiga mata yang diraih di gelanggang lawan itu penting walaupun sepatutnya mereka boleh menang dengan jumlah jaringan yang lebih besar.

“Kami menguasai sebahagian besar perlawanan merupakan sesuatu yang perlu diberikan pujian kepada pemain. 

“Bagaimanapun saya risau pada perlawanan tadi kerana peluang yang terhidang tidak dimanfaatkan untuk dijadikan sebagai jaringan, cuma di bilik persalinan saya ingatkan pemain supaya bersabar kerana masih ada 45 minit untuk mendapatkan gol.

“Alhamdulillah di awal separuh masa kedua kami memperoleh gol dan walaupun hanya satu jaringan ia sudah cukup bagi kami untuk mendapatkan tiga mata,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN