PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain berharap kemelut yang melanda skuad Hijau Kuning dapat diselesaikan dengan segera bagi mengelak lebih ramai pemain ‘angkat kaki’.
Nafuzi berkata, beliau memahami ‘kesukaran’ yang dihadapi pemain dan menghormati keputusan yang diambil biarpun pahit kerana mereka sememangnya mempunyai komitmen serta tanggungjawab masing-masing.
“Saya faham keadaan dan kesukaran yang pemain alami, agak sukar kerana kita dari awal sebenarnya bermula dengan keadaan tidak lengkap, kita harungi sejak permulaan liga hingga sekarang.
“Ini (boikot) tindakan pemain, mereka semestinya berada dalam kesusahan dan saya harap dapat disegerakan usaha untuk atasi masalah agar semua pemain utama dapat kembali pada perlawanan seterusnya.
“Kita tahu dan saya sendiri tahu, apa yang kita alami. Pemain dan pegawai saya, kita alami masalah yang sama. Dari segi pengurusan, kita tahu mereka bekerja keras untuk beri yang terbaik kepada pasukan tetapi bukan mudah untuk selesai.
“Setakat ini, kita hilang dua emain, kita tahu mereka keluar atas keputusan sendiri, ada tanggungjawab masing-masing. Mungkin akan ada lagi yang akan keluar tetapi saya tidak boleh nak pastikan 100 peritus,” kata Nafuzi.
Sebelum ini, media melaporkan kemelut melanda KDA FC apabila dikatakan berdepan tunggakan gaji lebih enam bulan sehingga pemain mereka memboikot sesi latihan dan juga aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, kelmarin.
Keputusan pemain memboikot perlawanan itu menyaksikan KDA FC terpaksa menggunakan khidmat pemain bawah 23 tahun untuk berdepan KL City dan tindakan itu perlu dibayar dengan harga mahal apabila mereka dibedal 5-0.
Mengulas lanjut, Nafuzi berkata, Kedah akan berdepan masalah besar sekiranya terus beraksi dengan skuad muda pada perlawanan akan datang kerana ia pasti merugikan pasukan untuk terus bersaing di kelompok atas liga.
“Sebagai jurulatih, saya sememangnya perlukan pemain terbaik setiap perlawanan untuk menang, agak rumit dan sukar untuk kita bersaing kalau situasi ini berterusan lama. Saya harapkan perubahan dan segera selesai.
“Sekarang kita masih di kelompok terbaik (dalam carta Liga Super), tetapi (untuk terus kekal di posisi itu) kita harus kuatkan pasukan dan pasukan juga perlu bergerak dengan baik tanpa sebarang masalah,” katanya.
Habis