KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) memasang impian untuk melakar kejutan dalam penampilan di Le Tour de Langkawi (LTdl) 2024 dengan kehadiran beberapa muka baharu dalam pasukan berkenaan.
Kapten MPC, Muhamad Zawawi Azman berkata, kehadiran muka-muka baru membuatkan pasukan bertambah semangat menjelang saingan yang akan membuka tirai pada Ahad ini membabitkan kayuhan sejauh 96.5 kilometer di Pulau Langkawi.
“Seronok (kehadiran muka baharu) kerana mereka membawa aura positif. Biarpun tiada pengalaman yang banyak di LTdL namun mereka sentiasa berfikiran positif, mahu buat yang terbaik serta mencipta kejutan.
“Walaupun mereka tidak tahu bagaimana laluan sebenar nanti, namun perasaan ingin mencuba itu sangat tinggi. Jadi kita merasakan mentaliti itu kena sama seperti mereka,” kata Zawawi.
Zawawi berkata, kehadiran Zulfikri Zulkifli mampu memberi saingan yang sengit kepada pelumba berkelas dunia selepas berjaya menamatkan Peringkat Ke-5 Tour of Thailand, April lalu di tempat ketiga.
“Sebelum ini siapa sangka Zulfikri berjaya berada di podium nombor tiga di Tour of Thailand? Jadi mereka ini mempunyai perasaan ingin mencuba yang sangat tinggi
“Mereka baharu dan mahu timba pengalaman serta tidak takut untuk mencuba. Saya yang lama ini pun tengok mereka membawa satu semangat baharu,” katanya.
Selain Zulfikri, pelumba yang beralih dari basikal bukit ke lebuh raya ialah Muhammad Syawal Mazlin, Muhammad Fahmi Khairul dan Ahmad Syazrin Awang Ilah, serta pelumba berpengalaman, Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil.- UTUSAN