MTBC dilema pilih Sukan SEA atau Kejohanan Dunia

MTBC dilema pilih Sukan SEA atau Kejohanan Dunia

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyambut kepulangan atlet boling negara dari Kejohanan Asia di Bangkok, Thailand baru-baru ini.-IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) berdepan dilema menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand kerana Kejohanan Dunia di Hong Kong akan berlangsung 10 hari sebelum temasya dwi tahunan itu bermula.

Sukan SEA akan membuka tirai temasya pada 7 Disember, manakala, Kejohanan Dunia Tenpin Boling dilangsungkan pada 26 November dan hanya akan berakhir 5 Disember.

Boling sering kali menjadi lubuk emas buat Kontinjen Malaysia, lebih-lebih lagi dengan pencapaian terbaharu skuad kebangsaan yang membawa pulang lapan pingat emas pada Kejohanan Asia di Bangkok, Thailand yang berakhir Khamis lalu.

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok berkata, sudah tentu keutamaan akan diberi kepada Kejohanan Dunia, tetapi, pihaknya juga perlu menghormati sebarang permintaan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“MTBC mungkin perlu mempersiapkan dua pasukan untuk ke kejohanan dunia dan Sukan SEA, kita mempunyai masa yang terlalu singkat untuk buat persediaan ke Sukan SEA sebenarnya.

“Saya mungkin hantar pemain terbaik pada kejohanan dunia, tetapi, kita juga perlu mendengar pandangan MOM dan MSN, apa yang mereka mahu, jika kutipan pingat sangat penting, mungkin kita akan turunkan pasukan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM kali ke-210 yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria di Wisma MOM, dekat sini, kelmarin.

Walaupun berdepan jadual yang cukup padat, namun, menurut Maradona, beliau tidak bimbang pihaknya akan berdepan kekurangan pemain untuk dihantar bertanding pada dua kejohanan berbeza.

Jelas beliau, MTBC mempunyai bilangan pemain yang mencukupi untuk menggalas tugas berat tersebut.

“Kita berkemampuan menghantar dua hingga tiga pasukan menyertai kejohanan berbeza dalam masa sama, tetapi, kita masih mampu mengekalkan kompetitif,” ujarnya.

Walaupun kali terakhir barisan pemain boling negara gagal menjelmakan pingat emas pada Sukan SEA di Vietnam, namun, Maradona memberitahu, pasukan yang sama juga menghadiahkan lapan emas pada Kejohanan Asia.

“Kalau pandangan peribadi saya diambil kira, saya lebih selesa menggabungkan pemain senior dan junior pada Sukan SEA, tahun depan, tetapi kita ada Kejohanan Dunia yang perlu diberi keutamaan,” tegasnya.

Tambah beliau, jadual padat menanti skuad kebangsaan, tahun depan kerana selain Sukan SEA dan Kejohanan Dunia, para pemain juga akan menyertai Piala Dunia di Hong Kong pada Januari dan Sukan Asia Dalam Dewan di Riyadh, Arab Saudi pada 20-25 Oktober.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya