PETALING JAYA: Saingan basikal bukit (MTB) Jamboree 2024 di Cameron Highland berjaya menarik ratusan pelumba yang berlangsung cukup meriah di pusat peranginan terkemuka negara itu semalam.
Dalam kejohanan yang julung kali diadakan itu, hampir 370 peserta dari seluruh negara termasuk pelumba antarabangsa turut menghangatkan saingan yang membabitkan jarak perlumbaan sejauh 30 hingga 40 kilometer sekitar Cameron Highlands.
Paling menarik perhatian pelumba semestinya laluan memukau sekitar ladang teh Cameron Valley Tea yang cukup mempersonakan.
Salah seorang pelumba dari luar negara, Kathy Keiser yang berasal dari Belanda mengakui teruja dapat bersaing di mana laluan yang disediakan penganjur indah namun tetap sukar dan mencabar.
“Paling saya suka apabila kami dapat melalui laluan ladang teh di mana bagi saya ia pemandangan yang cantik sekali.
“Disamping keindahan Cameron Highland, saya akui perlumbaan amat sengit dengan rata-rata pelumba memberikan tentangan sepanjang perlumbaan,” katanya yang bersaing dalam kategori Master Wanita 35 tahun ke atas.
Sementara itu, pengurus Tea House dan Perancangan, Kelana Kamarudin akui pihaknya sedia meneruskan kerjasama dengan Persatuan Berbasikal Daerah Lipis yang menganjurkan saingan MTB Jamboree 2024 itu.
“Menerusi penganjuran ini, kita masing- masing dapat manfaat termasuk dari pihak kami dapat mempromosikan ladang teh kami selain kemudahan rekreasi yang terdapat di situ,” kata Kelana.
Penganjuran turut mendapat sokongan Kerajaan Pahang, Tourism Malaysia dan swasta seiring Cuti-Cuti Malaysia yang dipromosikan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya.
Satu lagi saingan bakal menanti peminat berbasikal apabila Cabaran Antarabangsa Ulu Jelai-Cameron Highland 2025 akan diadakan pada awal tahun depan.-UTUSAN