PETALING JAYA: Aksi Harimau Malaya menentang Filipina malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka gagal menarik puluhan ribu penyokong setia selepas adanya gerakan memboikot terhadap skuad kebangsaan.
Selain itu, faktor perlawanan yang berlangsung pada hari bekerja juga menjadi antara punca perlawanan pertama Harimau Malaya dalam kempen Pestabola Merdeka 2024 itu tidak mendapat sambutan yang menggalakkan.
Pemain tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba berkata, penyokong adalah pembakar semangat kepada semua pemain apabila beraksi di atas padang, namun jika mereka sudah tekad untuk terus boikot maka ia diluar kawalan pemain.
Sehubungan itu, pemain berusia 26 tahun itu berharap kemenangan ke atas Filipina dapat membuka kembali hati penyokong untuk hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada Harimau Malaya dalam aksi seterusnya.
“Bola sepak adalah untuk penyokong, kami bermain pun untuk penyokong. Jadi, perkara itu (penyokong boikot) satu benda yang menyedihkan kerana kami datang ke sini adalah untuk mereka.
“Namun, ia satu benda yang kami tidak boleh kawal. Kami akan beri sesuatu kepada penyokong untuk yang tidak datang pada perlawanan pertama supaya mereka hadir pada aksi kedua dan beri sokongan kepada kami,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente optimis pasukannya sudah bersedia untuk menewaskan The Azkals meskipun berdepan isu hangat Ultras Malaya memboikot Pestabola Merdeka 2024.-UTUSAN