PETALING JAYA: Peluang pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia bergantung kepada prestasinya di perlumbaan penutup musim Piala Red Bull MotoGP Rookies di Litar Misano, Itali, hujung minggu ini.
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, tiket ke Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan itu hanya mampu diraih Hakim Danish jika dia berjaya menamatkan aksinya musim ini dalam kelompok tiga terbaik secara keseluruhan.
“Sasaran untuk Hakim Danish minggu ini adalah bersaing di kelompok hadapan dan sentiasa kompetitif dari sesi latihan bebas 1 sehingga ke aksi perlumbaan.
“Kedudukan keseluruhan Hakim Danish sekarang berada di tempat ke-6 dan jika berjaya naik ke tempat ke-3 keseluruhan, maka, dia berpeluang untuk ke Kejuaraan Dunia Moto3 tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Bagaimanapun, menurut Zulfahmi, menyaksikan kutipan mata yang dikumpul pelumba berusia 17 tahun itu setakat ini, dia perlu realistik bahawa peluang untuk Hakim Danish melakukan penampilan sulung dalam kancah perlumbaan Moto3 amat tipis.
“Secara realistiknya apabila kita tengok kedudukan sekarang harapan itu tipis.
“Saya berharap Hakim Danish dapat menunjukkan prestasi tinggi dan berjaya menawan podium bagi kedua-dua perlumbaan.
“Selepas tamat pusingan terakhir, kita akan lihat kembali ke mana hala tuju Hakim Danish bagi tahun hadapan,” tegasnya.
Hakim Danish kini berada di tangga keenam mengumpul 114 mata dengan dua pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe serta Brian Uriarte mengungguli senarai dua teratas selepas masing-masing mengutip 202 dan 189 mata, manakala, Valentin Perrone dari Argentina di tempat ketiga dengan 161 mata.
Anak jati Terengganu itu merupakan satu-satunya pelumba Malaysia yang berjaya mencatat keputusan podium dalam Piala Red Bull MotoGP Rookies dan daripada 12 perlumbaan setakat ini, Hakim Danish belum pernah gagal mengutip mata sepanjang aksi, musim ini.
Dengan hanya dua perlumbaan berbaki, pelumba itu sudahpun mencatat tiga keputusan podium iaitu selaku naib juara di Jerez, Sepanyol; tempat ketiga di Le Mans, Perancis dan juara di Aragon.-UTUSAN