MANCHESTER: Pemain tengah Scotland, Scott McTominay mengakhiri tempoh selama 22 tahun bersama Manchester United untuk menyertai kelab Serie A, Napoli.
United mengumumkan perpindahan berkenaan dimuktamadkan kelmarint, dengan McTominay, 27, menandatangani kontrak bernilai 30.5 juta euro (RM153.7 juta).
McTominay yang menyertai United ketika berusia lima tahun, telah beraksi dalam 178 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak penampilan sulungnya pada 2017.
“McTominay akan dirindui oleh semua orang di kelab dan pergi dengan ucapan selamat ketika dia memulakan lembaran baharu kariernya di Itali,” kata United dalam satu kenyataan.
Ini menjadikan McTominay pemain kedua dari Liga Perdana yang menyertai Napoli minggu ini, selepas penyerang Romelu Lukaku yang berpindah dari Chelsea pada Khamis.
McTominay membuat penampilan terakhirnya untuk United sebagai pemain gantian dalam kekalahan 1-2 kepada Brighton pada Sabtu lalu.
Sementara itu, seorang lagi pemain antarabangsa Scotland, Billy Gilmour turut melengkapkan perpindahan tetap ke Serie A dari Brighton & Hove Albion dengan syarat yang tidak didedahkan.
Pemain tengah berusia 23 tahun itu, yang sebelum ini bersama Chelsea selama lima tahun sehingga 2022, telah membuat 60 penampilan untuk Brighton dalam semua pertandingan.
Napoli, di bawah bimbingan pengurus Antonio Conte, berjaya mencatat kemenangan pertama liga mereka musim ini dengan menewaskan Bologna 3-0 hujung minggu lalu dan bakal berdepan Parma pada Sabtu ini.-AGENSI