BUTTERWORTH: Pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli tidak mempunyai masalah untuk bergelar juara peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas mengharungi laluan sempit dan penamat beramai-ramai, sebentar tadi.
Perlumbaan dari Arau ke Butterworth sejauh 154 kilometer (km) itu menyaksikan Malucelli mengetepikan beberapa pakar atlet pecut dari pasukan WorldTeam dan ProTeam untuk tiba di garisan penamat terlebih dahulu.
Pelumba berusia 31 tahun itu melintasi garisan penamat dengan catatan tiga jam 34 minit 58 saat (s) memintas wakil Team Polti Kometa, Manuel Penalver dan pelumba sensasi tahun lalu Arvid De Kleijn dari Tudor Pro Cycling.
Dalam pada itu, Jersi Hijau (pendahulu keseluruhan) kekal menjadi pelumba Asrana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa (5:39:23s), diikuti Malucelli kurang 0:02s, manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli di kedudukan ketiga (0:04s).
Syritsa turut mengekalkan Jersi Jingga (Raja Pecut) selepas mengumpul 23 mata diikuti Malucelli (22) dan Penalver (17).
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli turut berjaya mempertahankan Jersi Putihnya (pelumba terbaik Asia) dengan catatan 5:39.27s, meninggalkan Ng Pak Hang (HKSI Pro Cycling) kurang 0:01s dan Yusri Shaari dari pasukan kebangsaan (0:05s).
Saingan peringkat ketiga akan diteruskan harini dari Taiping ke Cameron Highlands dengan jarak 175.7km dengan merangkumi tiga zon pecutan di Kuala Kangsar, Sungai Siput dan Ipoh, selain tiga zon pendakian (Kuala Kangsar, Kampung Raja dan Berinchang). – UTUSAN