MANCHESTER: Liverpool memastikan Manchester United mengalami ‘mimpi ngeri’ lebih awal musim ini apabila membenam The Red Devils 3-0 di Old Trafford.
Luis Diaz meledak dua gol dalam perlawanan itu manakala Mohamed Salah menyumbangkan satu gol untuk melengkap malam gemilang The Reds.
Kemenangan itu menyaksikan Arne Slot mengekalkan rekod sempurna tiga kemenangan daripada tiga aksi bersama pasukan Merseyside itu.
Gandingan Salah dan Diaz memukau dalam tiga aksi pertama dengan Salah meledak satu gol dalam setiap perlawanan manakala Diaz juga mengumpul tiga gol setakat ini.
Bukan itu sahaja, Salah juga memainkan peranan penting apabila melakukan umpanan menarik untuk kedua-dua gol Diaz ketika menentang United.
Gol pertama terhasil pada minit ke-35 dan gol kedua pula terhasil tiga minit sebelum rehat untuk anak-anak buah Slot selesa memimpin perlawanan.
Manakala Salah pula meledak pada minit ke-56 selepas merembat kencang dengan kaki kiri ke penjuru kanan pintu gol lawan selepas menerima umpanan Dominik Szoboszlai.
Bintang serangan dari Mesir itu kini menjaringkan atau membuat umpanan 19 daripada 25 gol Liverpool dalam pertembungan liga menentang United.
Kemenangan malam menyaksikan Liverpool kembali ke tangga kedua liga, muncul salah satu daripada dua pasukan selain Manchester City yang mengekalkan rekod sempurna menang tiga aksi pertama.-AGENSI