KANGAR: Buat julung kalinya, stadium keramat, Tuanku Syed Putra di sini bakal mengumpulkan bekas-bekas pemain Malaysia dan Singa Utara dalam perlawanan persahabatan sempena Festival Kangar Unity anjuran Kelab Unity Kangar, pada 12 September ini.
Pertembungan bersejarah yang bakal mengembalikan nostalgia generasi emas para pemain bintang skuad kebangsaan dan Perlis dari pelbagai era itu, dijadual berlangsung pada pukul 8.30 malam dengan tiket dijual pada harga serendah RM5 bagi tempat duduk terbuka dan RM10 untuk tempat duduk berbumbung dengan kanak-kanak bawah 12 tahun adalah percuma.
Antara legenda bola sepak kebangsaan yang akan bersama dalam perlawanan tersebut adalah Subadron Aziz, Azizon Kadir, Azizul Kamaludin, Khairul Anuar Baharom, Rafdi Rashid, Zulhamizan Zakaria dan Chow Chee Weng.
Bekas pemain Perlis pula terdiri daripada Saidin Osman, Suhairi Karim, V. Marimuthu serta bintang-bintang yang membawa Perlis menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2004 dan 2006 seperti Amran Omar, Muhamad Kaironnisam Shahabudin Hussein, Adrien Jurad Chamrong dan Azizi Matt Rose.
Perlawanan tersebut juga bakal menyaksikan penampilan istimewa bekas pemain import sensasi Perlis tahun 1989 seperti Praduphan Jarunya yang juga penjaring terbanyak liga pada tahun itu, Nakul Watana, Somkeat Fongpech dan Sanphong Sitthiphachirasakun.
Pada sebelah pagi sebelum perlawanan tersebut, turut diadakan Majlis Jasamu Dikenang bagi meraikan bekas-bekas pemain bola sepak dan atlet-atlet di bawah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) melibatkan zon utara merangkumi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang di Ocean Glow, Kuala Perlis.
Pada sebelah petang pula, turut diadakan pameran jersi Singa Utara di pekarangan stadium Tuanku Syed Putra Kangar selain sesi pemain bertemu peminat.
Selain perlawanan bola sepak tersebut, Festival Kangar Unity yang bermula 12 sehingga 15 September di pekarangan stadium itu juga menyediakan pelbagai acara menarik seperti Jelajah Jalur Gemilang, Perlis Moto Fest, Kangar Unity Fun Run, kejohanan bola sepak bawah 10 tahun Piala Kangar Unity, bola jaring terbuka Piala Kangar Unity, karnival jualan dan pelbagai lagi aktiviti menarik lain.
Pengerusi Kelab Unity Kangar, Zakri Hassan Berkata, idea untuk mengumpulkan bekas-bekas pemain kebangsaan dan Perlis itu sudah lama dirancang yang akhirnya berjaya direalisasikan bersempena karnival ini.
Katanya, perlawanan tersebut membabitkan separuh masa pertama, kedua dan ketiga dengan durasi masa keseluruhan selama 90 minit bagi memberi ruang semua pemain beraksi dalam perlawanan berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kangar berkata, menariknya, piala dikenali sebagai Piala Unity Kangar juga disediakan bagi direbut oleh pemenang dalam perlawanan berkenaan.
“Orang ramai dijemput memenuhi stadium menyaksikan perlawanan bersejarah itu dan tidak melepaskan peluang menyaksikan legenda bola sepak negara dan Perlis beraksi.
“Jualan tiket mula dibuka pada orang ramai pada 11 dan 12 September di stadium bermula 10 pagi sehingga 6 petang selain jualan tiket secara dalam talian di
https://www.mep21-online.com/event-info.php?eid=11826,” katanya.