SHAH ALAM: Kuala Lumpur (KL) Thunder muncul juara Liga Sepak Takraw (STL) Premier GP Selangor selepas berjaya menumpaskan Perak Bison 2-0, sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Malawati itu, KL Thunders yang diwakili Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri) ternyata berada dalam kelas tersendiri.
Perak Bison yang dibarisi Kritsada Sungvung (tekong), Noraizat Nordin (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) gagal menyaingi KL Thunders pada set pertama selepas tumpas 7-15.
Pada set kedua Perak Bison menghadirkan sedikit cabaran dengan membawa masuk Meor Zulfikar Mat Amin dan ‘killer’ import dari Thailand, Treepong, namun ia tidak menghalang untuk KL Thunder menang 15-12.
Sementara itu, tempat ketiga STL Premier GP Selangor dimenangi oleh tuan rumah Selangor Pistons selepas mereka berjaya menumpaskan PDRM Difenders dalam aksi rubber set 9-15,15-9,15-4.
Selepas ini, kesemua 12 pasukan primier akan beraksi di STL GP Terengganu pada 24 hingga 28 September ini di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu.- UTUSAN