JOHOR BAHRU: Tempoh rehat yang pendek selepas perlawanan pembukaan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di China, Rabu lalu tidak menjejaskan prestasi dan dinamik permainan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila meratah Kelantan Darul Naim (KDN) FC 6-1 pada aksi Liga Super, kelmarin.
Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio berkata, tahap intensiti serta komitmen pemain di atas padang juga tidak menunjukkan kemerosotan walaupun menempuh penerbangan panjang, kira-kira lima jam dari Shanghai ke Johor Bahru.
“Saya lihat ia tidak menjejaskan mutu permainan JDT walaupun sedikit bergelut untuk mendapatkan gol pembukaan setelah pasukan lawan berkampung di kawasan sendiri, tidak timbul isu kepenatan.
“Mereka tetap komited memikul tanggungjawab yang diberikan di atas padang, hasilnya berjaya memecahkan benteng lawan dan menggandakan jaringan dalam tempoh yang pendek pada hujung babak pertama,” katanya.
Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, dua gol awal Bergson Da Silva memberi keselesaan bagi pasukan untuk beraksi dengan lebih baik dan berkesan.
Arif Aiman Hanapi yang menjaringkan dua gol ketika berdepan Shanghai Port pada aksi sulung ACLE turut meledak dua gol pada minit ke-55 dan ke-58 melengkapkan kemenangan bergaya tersebut.
“Saya gembira apabila dia sudah kembali mendapat sentuhan jaringan dan ini penting kerana Arif Aiman merupakan salah seorang watak utama JDT.
“Dia semakin matang dan tahu peranannya selaku pemain sayap kanan dan bermain secara berpasukan. Dia turut membantu bertahan ketika pihak lawan mendapat bola,” tambahnya.-UTUSAN