Kedah terus tempang, Kalamullah 'angkat kaki'

Kedah terus tempang, Kalamullah ‘angkat kaki’

KALAMULLAH dikatakan bakal menyertai Selangor dalam baki saingan Liga Super musim ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedah Darul Aman (KDA) FC terus ‘tempang’ untuk baki saingan Liga Super musim ini apabila kehilangan khidmat penjaga gol utama mereka, Kalamullah Al-Hafiz.

KDA FC dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan penamatan kontrak Kalamullah selepas kedua-dua pihak melakukan perbincangan dan mencapai persetujuan secara bersama.

Pengumuman itu sekali gus mengesahkan khabar angin yang bertiup kencang mengenai perpindahan penjaga gol Harimau Malaya itu yang sebelum ini dikaitkan dengan Selangor FC.

“Selepas beberapa perbincangan mendalam antara Kalamullah, barisan kejurulatihan dan pengurusan kelab, kesemua pihak memutuskan untuk membawa haluan berbeza dan menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.

“Dalam keadaan yang cukup sukar ini, kehilangan Kalamullah yang berada dalam kemuncak kerjaya serta dalam prestasi antara penjaga gol terbaik Harimau Malaya, keputusan yang diambil oleh pemain ini bersama pengurusan tidaklah mudah.

“Namun dengan situasi semasa Sang Kenari, ini adalah keputusan terbaik untuk kedua-dua pihak dan pihak pengurusan mengucapkan terima kasih di atas khidmat bakti beliau selama mewakili Sang Kenari. KDA FC mendoakan kerjaya beliau terus maju bersama pasukan baharu,” katanya.

Situasi itu menyaksikan skuad utama KDA FC kini hanya memiliki seorang penjaga gol iaitu Ifwat Akmal Chek Kassim selepas seorang lagi penjaga gol, Fikri Che Soh menamatkan kontrak lebih awal sebelum ini.

Tindakan Fikri kembali ke pangkuan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dipercayai turut didorong oleh ‘keperluan’ untuk mendapatkan lebih minit permainan setelah dia terpaksa bersaing hebat dengan Kalamullah serta Ifwat untuk diberi peluang beraksi.

Dalam keadaan KDA FC masih dikenakan ‘transfer ban’, Sang Kenari nyata tidak boleh berharap untuk menandatangani pemain baharu sebaliknya hanya mampu ‘menaik taraf’ pemain dari skuad muda bagi dijadikan penjaga gol kedua serta ketiga.

Sepanjang bersama KDA FC, Kalamullah berjaya mempamerkan prestasi yang cukup baik dalam tempoh Sang Kenari masih terumbang ambing mencari rentak di awal musim ini dan seterusnya beliau turut memainkan peranan penting dalam membantu KDA FC layak ke peringkat separuh akhir Piala FA 2024/25 baru-baru ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya