Kedah berisiko hilang dari ‘peta’ Liga M?

Kedah berisiko hilang dari ‘peta’ Liga M?

Pemain Kedah Darul Aman FC, Muhammad Azim Anuar (kanan) cuba mengejar bola dari Pemain Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue pada perlawanan Liga Super antara Kuala Lumpur City FC menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Bola Sepak Cheras. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Situasi yang melanda Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika ini dilaporkan berada pada tahap kritikal sehingga ada dalam kalangan peminat Hijau Kuning sudah bersedia melihat pasukan itu hilang dalam ‘peta’ bola sepak Malaysia.

Sebelum ini, terdapat laporan yang mendakwa skuad Hijau Kuning berdepan masalah tunggakan gaji sehingga enam bulan yang menyebabkan pemain pasukan itu mengambil keputusan untuk memboikot sesi latihan kendalian Nafuzi Zain.

Bukan itu sahaja, pemain utama Kedah turut memboikot aksi terakhir Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL City) FC pada Sabtu lalu sehingga menyebabkan Nafuzi terpaksa menggunakan pemain skuad bawah 23 tahun untuk aksi tersebut.

Tindakan itu perlu dibayar dengan harga mahal apabila ubi muda Kedah dibedal 5-0 dalam aksi tersebut dan situasi itu berisiko lebih parah sekiranya pasukan itu terpaksa menghabiskan saingan musim ini tanpa khidmat pemain-pemain utama.

Lebih mengeruhkan keadaan, Kedah ketika ini berisiko untuk terus kehilangan pemain utama selepas ada pemain yang bersedia untuk mencari pasukan baharu dan sehingga kini tiga pemain telah berbuat demikian iaitu Habib Harun, Fikri Che Soh dan juga Kalamullah Al-Hafiz.

Ketiga-tiga pemain itu memilih untuk menamatkan kontrak lebih awal dengan Habib pulang ke Bahrain manakala Fikri menyertai Kelantan Darul Naim FC dan Kalamullah pula dikaitkan dengan penghijrahan ke Selangor FC.

“Saya harap kita dapat selesaikan masalah ini dan kita dapat mendaftarkan pemain baharu untuk menggantikan pemain berkenaan bagi menambah kekuatan pasukan kerana kita memang perlukan beberapa pemain baru.

“Selagi jendela perpindahan pemain masih terbuka, masih ada ruang untuk pemain untuk mencari tempat baru. Dari pihak pengurusan pun kita tahu, mereka bekerja keras untuk menyelesaikan semuanya termasuk mendapatkan pemain baru.

“Sebab kita tahu jendela perpindahan ini tinggal beberapa hari saja lagi dan ia bukan tempoh yang panjang dan semua benda ini perlu diselesaikan (segera),”kata Nafuzi.

Sementara itu tinjauan di laman sosial pasukan itu mendapati, rata-rata peminat meluahkan perasaan kurang senang dengan pihak pengurusan dengan situasi yang melanda pasukan kesayangan mereka musim ini.

“Selamat tinggal pasukan kesayangan kami genap 100 tahun sahaja kedah…Maaf Kedah kami sudah kecewa dengan pengurusan yang tidak pernah ambil berat. Kami halalkan semua duit kami bagi kalau di guna cara yang betul,” kata Ahmad Muzakkir

Selain itu, ada dalam kalangan peminat juga tertanya-tanya bila pemain Kedah akan Kembali turun menjalani latihan selain turut mendesak pihak pengurusan mendedahkan masalah yang berlaku agar tidak menimbulkan persepsi negatif.

“Kedah Darul Aman FC bila nak turun latihan, kalau ada masalah pun, bagitahulah bagi peminat tahu perkembangan semasa pasukan kesayangan kami.” kata Normanzie Abdullah.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan perkembangan terkini daripada pihak pengurusan Kedah gagal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya