PETALING JAYA: Kemelut yang melanda Kedah Darul Aman (FC) ketika ini berisiko menyebabkan skuad Hijau Kuning hilang dalam pentas tertinggi Liga Malaysia (Liga M) seperti yang melanda Perlis, Kelantan, Melaka dan Sarawak.
Dengan keputusan pemain utama yang memboikot sesi latihan dan aksi Liga Super ketika ini, Kedah yang dikendalikan Nafuzi Zain tidak ada pilihan lain dan terpaksa menggunakan pemain skuad bawah 23 tahun untuk baki saingan Liga Super.
Bagaimanapun, situasi itu bakal berubah sekiranya pihak pengurusan Kedah melangsaikan bayaran gaji tertunggak pemain yang dikatakan mencecah enam bulan dan Nafuzi juga boleh menarik nafas lega jika perkara itu benar-benar berlaku.
Situasi yang melanda Kedah ketika ini bertambah ‘parah’ kerana difahamkan, akan ada lagi pemain yang akan meninggalkan pasukan itu selepas Habib Harun, Fikri Che Soh dan Kalamullah Al-Hafiz telah menamatkan kontrak lebih awal
Kehilangan Kalamullah yang merupakan penjaga gol utama pasukan dan Fikri penjaga gol ketiga pastinya memberi kesan besar kepada Kedah kerana mereka kini hanya memiliki Ifwat Akmal Chek Kassim dalam senarai pemain senior.
Dalam keadaan KDA FC masih dikenakan sekatan perpindahan, Sang Kenari tidak boleh berharap untuk menandatangani pemain baharu sebaliknya hanya mampu ‘menaik taraf’ pemain dari skuad muda bagi dijadikan penjaga gol kedua serta ketiga.
Untuk rekod, Kedah bermula musim ini dengan keadaan serba kekurangan selepas tiada penaja utama selain turut dikenakan hukuman pemotongan tiga mata dan denda RM50,000 atas kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023.-UTUSAN