KDN FC pamer peningkatan

KDN FC pamer peningkatan

UTERI, 23 September - Pertahanan KDN FC Muhamad Hafizal diasak pemain tengah JDT Enzo Lombardo pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Walaupun tumpas 1-6 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT), Penolong Ketua Jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Rezal Zambery Yahya menyifatkan ada perkara positif yang boleh diambil pasukannya bagi meneruskan perjuangan dalam liga.

Menurutnya, pemain yang diturunkan termasuk beberapa muka baharu sudah menjalankan tugas dengan baik pada babak pertama dengan merantai pergerakan Harimau Selatan sehinggalah tempoh lima minit terakhir apabila gawang Kijang Emas dibolosi dua gol.

Katanya, perancangan yang dicatur itu terjejas apabila pemain tampak keletihan dan mula hilang fokus setelah diasak dan diserang bertubi-tubi sehingga membuka ruang buat lawan mencipta jaringan.

“Walaupun kalah 1-6, ada perkara positif yang boleh diambil di mana kita boleh mencipta jaringan dan berjaya membuat gerakan berbahaya ke kubu lawan. Pemain import baharu, Washington Brandao juga tampak meyakinkan dan lebih baik daripada pemain import yang lepas.

“Jadi, sudah tentu yang negatif kita akan perbaiki, tapi aspek positif ini kita kena ambil kira juga. Ada yang positif ditunjukkan pemain dan ini akan kita tingkatkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Rizal Zambery berkata, pasukan membuat keputusan untuk ‘menyimpan’ dua pemain import, iaitu Oday Kharoub dan Michal Jerabek untuk diturunkan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Jumaat ini.

“Dua pemain import ini masing-masing sudah mengutip dua kad kuning setakat ini dan kita khuatir mereka akan dilayangkan satu lagi kad kuning ketika perlawanan menentang JDT yang menyebabkan mereka terlepas aksi di Paroi.

“Justeru, hasil perbincangan dengan Ketua Jurulatih (Park Jae Hong), kami tidak mahu mengambil risiko dan merasakan ada beberapa pemain yang perlu kita simpan untuk pertemuan menentang skuad Hoben Jang Hoben nanti,” jelasnya.

Meskipun merekodkan enam kekalahan berturut-turut dan hanya mencatatkan satu kemenangan, penolong ketua jurulatih berusia 45 tahun itu optimis KDN FC mampu keluar daripada kedudukan tercorot.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya