JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mahu membuka tirai Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) menentang kelab China, Shanghai Port, di Stadium Bola Sepak Pudong, malam ini dengan nota kemenangan.
Pengendali berusia 56 tahun itu mengakui berdepan Gergasi China itu bukan satu tugas mudah, namun optimis anak buahnya mampu melaksanakan tugas dengan baik dan membawa pulang tiga mata.
Bidoglio berkata, skuad Harimau Selatan telah bersedia dan tidak sabar untuk beraksi menentang The Red Eagles pada aksi sulung kejohanan terbesar Asia itu.
“Saya jangkakan ia merupakan satu cabaran yang hebat, pertembungan yang dinamik dan penuh intensiti. Pastinya aksi di peringkat antarabangsa itu berbeza dengan liga tempatan, transisinya mungkin lebih pantas.
“Namun, JDT juga tidak kurang hebatnya, kami berada dalam keadaan terbaik, dengan momentum kemenangan yang dimiliki sudah bersedia berdepan pasukan yang kuat seperti Shanghai Port.
“Sudah pasti kami idamkan berada di landasan yang betul, kejohanan ACLE ini amat penting buat kami dan bertekad untuk berikan yang terbaik bagi menjamin kemaraan ke peringkat seterusnya,” katanya.
JDT bersedia menghadapi kejohanan itu setelah memperkuatkan pasukan dengan kehadiran beberapa pemain baharu seperti Enzo Lombardo, Iker Undabarrena, Eddy Israfilov, Jorge Obregon, Christian Amat dan Park Jun Heong.
Empat pemain baharu telah membuat debut ketika menewaskan Penang FC 5-0 pada aksi Liga Super, Khamis lalu dengan Obregon membuka akaun jaringan apabila meledak dua gol.
Dalam pada itu Bidoglio berkata, JDT akan kekal dengan falsafah permainan yang diterapkan dengan mempamerkan corak menyerang dalam usaha merobek gawang tuan rumah.
“Kita tahu kelebihan yang ada pada pasukan lawan dan jangkakan mereka akan menggunakan kelebihan fizikal dalam perlawanan ini ketika melancarkan serangan ke pintu gol.
“Justeru, saya ingatkan pemain supaya bersiap sedia dalam setiap situasi agar JDT mampu menghasilkan keputusan yang positif,” katanya.-UTUSAN