jdt-dihadiah-tiga-penalti-belasah-harimau-kumbang-5-0

JDT dihadiah tiga penalti, belasah Harimau Kumbang 5-0

PEMAIN tengah JDT, Enzo Lombardo diasak dua pertahanan Penang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus selesa di puncak Liga Super selepas menjinakkan Harimau Kumbang 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Bermain di laman sendiri, pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio mengambil peluang merehatkan pemain utama seperti gandingan penyerang sensasi, Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes serta Afiq Fazail, Hong Wan dan Jordi Amat.

Ini membuka ruang kepada pengendali kelahiran Argentina itu untuk menguji pemain baharu, seperti Enzo Lombardo, Iker Undabarrena, Eddy Israfilov dan Jorge Obregon yang membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Malaysia.

JDT tidak menunggu lama untuk membuka jaringan setelah hantaran jauh Natxo Insa kepada Oscar Arribas dimanfaatkan pemain berusia 25 itu apabila bijak melepasi kawalan dua pertahanan lawan dan menewaskan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pada minit ketiga.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Akmal Rizal Ahmad Rakhli kembali mengatur permainan dan berjaya mengimbangi penguasaan JDT yang masih mencari keserasian dengan pemain baharu.

Penyerang Penang FC, Dylan Wenzel-Halls dan Rodrigo Dias masing-masing mempunyai peluang melakukan percubaan tepat ke arah gol, namun penjaga gawang, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tangkas menafikan percubaan tersebut.

Obregon membuka akaun jaringan bersama JDT apabila meledak gol pertama peribadinya pada minit ke-41′ setelah mendapat umpanan cantik Arif Aiman Hanapi, sekali gus menghukum kesilapan pertahanan lawan yang gagal mengeluarkan bola dari zon bahaya.

Sebelum tamat babak pertama, pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali setelah semakan bantuan video (VAR) mendapati terdapat kekasaran dilakukan Rafael Vitor terhadap Obregon di dalam kotak penalti, namun peluang keemasan itu gagal disempurnakan Arif Aiman apabila rembatan kencangnya jauh tersasar.

Bersambung babak kedua, JDT meneruskan penguasaan dengan menerapkan corak permainan menyerang dan hasilnya berjaya mencipta gol ketika permainan baru memasuki minit keempat.

Sikh Izhan gagal menepis dengan kemas rembatan deras Juan Muniz menyebabkan Obregon yang berada di posisi yang tepat mudah menolak bola itu menerjah gawang Penang  pada minit ke-49.

Jaringan awal tersebut dilihat merentap semangat juang pasukan pelawat setelah permainan yang dipamerkan kurang berkesan pada babak kedua apatah lagi  mengancam kubu lawan.

Bergson yang dibawa masuk menggantikan Muniz menambah sengat bagi jentera serangan Harimau Selatan yang buas menambah jaringan.

JDT sekali lagi diberikan sepakan penalti setelah bek tengah Penang, Richmond Ankrah melakukan kekasaran terhadap Bergson di dalam kotak penalti.

Penyerang sensasi itu tidak berdepan tugas sukar menyudahkan sepakan penalti itu pada minit ke-65 biarpun penjaga gol lawan sudah melayangkan badan ke arah yang tepat, malah berjaya menyentuh bola itu.

JDT dihadiahkan sepakan penalti buat kali ketiga pada perlawanan itu setelah Syahmi Safari dikasari dari belakang oleh Adib Abdul Ra’op pada masa kecederaan dan kali ini, Arif Aiman tidak menghampakan apabila mudah menyempurnakannya sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Selatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya