LANGKAWI: Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil tidak berpuas hati dengan prestasi semasa dalam Peringkat 1 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas menduduki tempat ketujuh, semalam.
Kejayaan Izzat Hilmi menamatkan perlumbaan Peringkat 1 di Pulau Langkawi sejauh 96.5 kilometer (km) yang berlangsung dalam cuaca hujan di awal perlumbaan dan panas sehingga ke garisan penamat membolehkannya muncul selaku pelumba terbaik Malaysia.
Bagi memastikan impiannya untuk menaiki podium tercapai, Izzat Hilmi akan mengalihkan tumpuan ke Peringkat 2 iaitu dari Arau, Perlis hingga Butterworth, Pulau Pinang hari ini dengan cita-cita lebih besar untuk melakar kejutan.
“Secara keseluruhan, boleh dikatakan berpuas hati juga dengan perlumbaan. Sasaran saya sebenarnya mahu berada di podium di Peringkat 1 namun tidak kesampaian.
“Perlumbaan hari ini agak basah, hujan dan permukaan licin. Rakan sepasukan banyak membantu di awal saingan. Kedudukan saya agak ke belakang pada 1km terakhir tetapi saya cuba mengejar kelompok depan dengan menggunakan tenaga yang banyak.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semuanya selamat dan tidak mengalami kecederaan. Saya memang akan tidak akan berpuas hati selagi tidak sampai ke podium.,” kata Izzat kepada pemberita sejurus tamat perlumbaan, di sini, semalam.
Terdahulu, pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa mengungguli perlumbaan Peringkat 1 yang mengelilingi Pulau Langkawi sejauh 96.5 kilometer (km), semalam.
Sementara itu, Izzat gembira dengan keserasian serta kerjasama yang diberikan oleh rakan sepasukan dari awal perlumbaan sehingga garisan penamat.
“Pada Peringkat 1 ini jalan agak basah pada awal pagi dan panas pada penghujung perlumbaan. Semasa perlumbaan, rakan saya banyak membantu memberikan saya air minuman.
“Lepastu itu saya mencuba memberi sehabis baik pada 1km terakhir untuk berada dalam kelompok 10 terbaik,” katanya.
Hari ini, saingan LTdL 2024 beralih ke perlumbaan Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth sejauh 154.5km, membabitkan tiga zon pecutan di Jitra, Menara Alor Setar dan Sungai Petani yang pastinya akan digunakan sebaiknya oleh pakar pecut termasuk Izzat sendiri.- UTUSAN