PETALING JAYA: Harimau Malaya memerlukan perlawanan ‘kelas A’ yang dilihat mampu meningkatkan kualiti permainan skuad kebangsaan terutamanya apabila beraksi menentang lawan dari Asia Barat.
Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente melihat kejayaan menjinakkan Lubnan di kejohanan Pestabola Merdeka 2024 adalah perkembangan positif untuk Harimau Malaya lebih menyerlah pada masa akan datang.
Jurulatih berasal dari Sepanyol itu, mengakui berpuas hati dengan barisan pemain yang ada kerana sentiasa memberikan komitmen tinggi selain bersedia untuk beraksi apabila diperlukan.
“Saya fikir agak bagus untuk menentang mereka sebagai persiapan untuk kelayakan Piala Asia. Kita mahu lihat sejauh mana boleh pergi menerusi perlawanan ini.
“Walaupun kita berjaya meraih kemenangan namun barisan pemain tetap perlu bekerja keras dan tidak boleh memandang rendah kepada lawan.
“Sudah pastinya banyak tekanan yang dihadapi namun ini semua mampu menguatkan lagi pasukan kerana kita ada banyak perlawanan pada masa akan datang,”katanya.
Terdahulu, penantian 11 tahun skuad Harimau Malaya untuk menjulang Piala Pestabola Merdeka berakhir apabila merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Lubnan di pentas final Pestabola Merdeka, kelmarin.
Lebih manis lagi,perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Pau Marti berjaya mencipta sejarah tersendiri dengan hanya memerlukan dua perlawanan saja bagi membuktikan kewibawannya menjulang piala.
Pau Marti yang baru saja mengambil alih tugas daripada Kim Pan Gon dua bulan lalu melakukan kejutan apabila merehatkan Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid daripada membarisi kesebelasan utama.
Kejayaan itu diperolehi menerusi jaringan tunggal Romel Morales pada minit ke-33 sekali gus mengesahkan kemenangan Malaysia untuk menjulang piala Pestabola Merdeka edisi ini.-UTUSAN