PETALING JAYA: Tugas berat menanti dua pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli dan Danial Syahmi Ahmad Shahril untuk mencatat keputusan podium di Kejohanan Motosikal Dunia FIM JuniorGP Litar Jerez, Sepanyol, hujung minggu ini.
Ketika saingan, musim ini, hanya berbaki tiga pusingan untuk tamat, Hakim Danish kini menghuni kedudukan ke-12 dengan 35 mata, manakala, Danial Syahmi berada di tempat ke-17 setelah mengumpul 20 mata.
Untuk Hakim Danish yang tampil buat kali pertama dalam kancah perlumbaan JuniorGP, keputusan yang dicatatnya boleh difahami kerana dia merupakan pendatang baharu.
Bernaung di bawah pasukan SIC Racing-Msi, pelumba berusia 17 tahun itu masih mempunyai masa yang panjang untuk memperbaiki keputusannya dalam JuniorGP.
Namun, bagi Danial Syahmi perlumbaan JuniorGP bukanlah asing baginya kerana anak muda itu telahpun memiliki pengalaman selama tiga tahun beraksi pada kejohanan tersebut.
Dengan usianya yang bakal menginjak 22 tahun November ini, Danial Syahmi yang mewakili pasukan Asia Talent Team perlu membuktikan kemampuannya dalam baki tiga saingan jika mahu melihat masa depannya kekal cerah di pentas antarabangsa.
Ketua pasukan SIC Racing-Msi, Zulfahmi Khairuddin berkata, selepas hampir tiga bulan tidak berlumba, dia masih meletakkan harapan untuk melihat ada wakil negara yang mampu mencatat keputusan podium.
“Kita kembali di perlumbaan JuniorGP yang akan berlangsung di Litar Jerez-Angel Nieto, Sepanyol di mana hampir tiga bulan kita tidak berlumba.
“Saya percaya kita masih lagi memburu podium pertama bagi kedua-dua pelumba dan sedikit sebanyak saya yakin dengan Hakim Danish di mana dia akan membawa pengalaman dan momentum dari pusingan akhir Piala Redbull MotoGP Rookies, minggu lepas ke dalam perlumbaan JuniorGP,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, Litar Jerez merupakan litar kegemaran Hakim Danish dan bagi Danial Syahmi pula yang menyertai perlumbaan MSBK beberapa minggu lalu pasti akan memberi sedikit sebanyak persediaan menjelang aksi, hujung minggu ini.
“Danial Syahmi telah berangkat lebih awal ke Sepanyol untuk membuat latihan intensif bersama rakan pasukan dan sedikit sebanyak saya yakin dengan potensi kedua-dua pelumba.
“Sudah semestinya kita ingin memburu podium pertama kita, pasukan ZK racing akan bersama kedua-dua pelumba ini di Jerez pada hujung minggu ini,” ujarnya.- UTUSAN