Hakim Danish akhiri musim 2024 di tangga keenam

Hakim Danish akhiri musim 2024 di tangga keenam

HAKIM Danish (kanan) menamatkan aksinya di kedudukan ketiga dalam perlumbaan 1 pada Piala Red Bull MotoGP Rookies 2024 di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli di Itali, hujung minggu lalu. - IHSAN ZK RACING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli menutup aksinya, musim ini, di kedudukan keenam setelah mengumpul 139 mata pada Piala Red Bull MotoGP Rookies yang berakhir di Misano, Itali, hujung minggu lalu.

Pencapaian anak muda berusia 17 tahun itu jauh memperbaiki keputusan yang dilakarnya, musim lalu, selepas sekadar berada di tangga ke-12 dengan 70 mata.

Bagi musim 2024, Hakim Danish berjaya mencatat empat keputusan podium daripada 14 perlumbaan keseluruhan iaitu di Jerez, Sepanyol (No. 2); Le Mans, Perancis (No. 3); Aragon, Sepanyol (juara) dan Misano, Itali (No. 3).

Keputusan tersebut juga menyaksikan anak jati Terengganu itu muncul satu-satunya pelumba Malaysia yang melakar prestasi konsisten dengan catatan podium untuk dua musim berturut-turut, selain, berjaya menghasilkan mata dalam kesemua 14 perlumbaan tahun ini.

Untuk perlumbaan penutup musim di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli, Hakim Danish melengkapkan aksinya di kedudukan ketiga dalam perlumbaan 1 dan ketujuh untuk perlumbaan 2.

“Selesai sudah perlumbaan Piala Red Bull MotoGP Rookies bagi musim 2024, saya berjaya menamatkan perlumbaan 1 di tempat ke-3, manakala, perlumbaan 2 pula agak mencabar dan sengit.

“Saya cuba untuk mendapatkan podium, tetapi, saya telah melakukan sedikit kesilapan dan saya tamat di kedudukan ke-7,” kata Hakim Danish selepas saingan berakhir.

Potensi yang dipamerkan Hakim Danish dalam perlumbaan MotoGP Rookies itu sekali gus menimbulkan desas-desus tentang potensi pelumba tersebut melakukan penampilan sulung pada Kejuaraan Motosikal Dunia, musim depan.

Namun, seperti yang telah dinyatakan mentornya yang juga Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, Hakim Danish masih belum cukup matang untuk dilepaskan ke kejohanan berprestij itu dan mahu anak muda tersebut kekal dalam Piala Red Bull MotoGP Rookies buat tahun ketiga bagi musim 2025.

Syarat yang diletakkan Zulfahmi, Hakim Danish hanya dibenarkan beraksi dalam kejohanan dunia jika dia berjaya menamatkan saingan musim ini di kedudukan tiga terbaik.

Keputusan itu bakal menyaksikan Hakim Danish layak secara automatik ke aksi Moto3 dengan kontrak bersama pasukan KTM.

Namun begitu, sasaran tersebut gagal dilunaskan anak muda itu dan bagi musim 2025, cabaran lebih getir menanti Hakim Danish yang sudah tentu diletakkan harapan untuk beraksi lebih konsisten.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya