KUALA NERUS: Gol pantas ketika perlawanan baharu bermula 27 saat membantu Selangor FC meraih kemenangan 1-0 ke atas Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super, kelmarin.
Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil, berkata, jaringan Ronnie Fernandez itu memberikan skuad bimbingannya banyak kelebihan serta mampu menukar corak permainan lebih awal.
Menurut pengendali meningkat naik itu, Selangor memulakan perlawanan dengan misi tiga mata dan sudah menjangkakan tentangan getir menanti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Nidzam mengakui jaringan Ronnie yang merupakan gol kelapan pemain Chile itu dalam Liga Super hadir tanpa diduga sambil menegaskan kemenangan diraih bukan kerana nasib.
“Dalam bola sepak gol awal akan memberi kelebihan dan bagi Selangor, kami boleh menukar strategi kerana tidak boleh bermain terlalu terbuka melawan pasukan berkualiti seperti TFC.
“TFC memasukkan lebih ramai penyerang dalam tempoh 30 minit terakhir, jadi kami terpaksa mengamalkan corak bertahan untuk mengekalkan kedudukan 1-0 pada babak kedua.
“Berbaloi bagi Selangor untuk membawa pulang tiga mata dengan cara ini (bertahan) berbanding mungkin hanya satu mata jika bermain lebih terbuka,” katanya selepas perlawanan.
Jaringan pantas 27 saat itu dimulakan oleh Safuwan Baharuddin yang merampas bola dari kawalan Marin Pilj sebelum Ronnie menyudahkan gerakan satu dua bersama Yohandry Orozco.
Nidzam menjelaskan, kemenangan ke atas TFC membuktikan Selangor bukan hanya jaguh kampung setelah hanya mencatat satu kemenangan daripada enam kunjungan ke tempat lawan sebelum ini.
“Keputusan ini penting kerana Selangor keciciran mata bertemu KL City dan Sri Pahang selain tumpas kepada Kuching City serta TFC dalam Piala FA di gelanggang lawan.
“Tetapi Selangor menang ke atas TFC (kelmarin) bukan faktor nasib sebaliknya persiapan dan kerja keras semua pemain yang diturunkan termasuk dari bangku simpanan,” tambahnya.-UTUSAN