PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menamatkan kemarau kemenangan di Jelajah Badminton Persekutuan Dunia (BWF) selepas merangkul gelaran juara Terbuka Hong Kong 2024, semalam.
Kali terakhir beregu No.8 dunia itu merangkul kejuaraan BWF ada dua tahun lalu apabila muncul juara di Terbuka Perancis dan selepas itu merek berdepan kemarau kejuaraan biarpun beberapa kali melangkah ke pentas final.
Thinaah berkata, kejayaan sulung musim ini di Terbuka Hong Kong akan membantu dia dan Pearly untuk tampil lebih konsisten dalam mana-mana kejohanan akan datang.
“Kami tidak pernah memikirkan sebenarnya (menjadi juara). Apa pun kami gembira dengan kemenangan kami hari ini (semalam). Kemenangan ini sangat membantu kami dalam membina keyakinan dalam diri kami.
“Menjadi juara di hadapan penonton di Hong Kong, kami sangat gembira,” katanya kepada BWF sejurus tamat perlawanan, semalam.
Ketika ditanya mengenai kesilapan mereka ketika beregu China, Liu Sheng Shu-Tan Ning cuba mengejar mata akhir mereka dari 20-9 kepada 20-14, Thinaah menambah beliau tidak mahu kesilapan mudah itu berulang kembali.
“Ketika itu kami mahu menamatkan permainan dengan cepat. Jadinya kesilapan mudah terjadi yang mana kami tidak sepatut melakukannya. Kami tidak akan mengambil mudah dan mahu lebih peka tentang perkara ini,” jelasnya.
Semalam, Pearly-Thinaah memperagakan aksi di terbaik selepas menewaskan gandingan No. 3 dunia itu menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-14 pada perlawanan akhir di Colisuem Hong Kong.
Dalam masa yang sama, Thinaah gembira pencapaian mereka di Hong Kong dan mendedikasikan kemenangan itu kepada rakyat Malaysia sempena Hari Malaysia pada hari ini dan menganggap itu merupakan hadiah bermakna buat negara.
Menurutnya, beliau berbangga dapat melunaskan ‘dendam’ apabila tewas di pentas akhir Terbuka Korea Selatan 2024 baru-baru ini sehari selepas Hari Kebangsaan ke-67.-UTUSAN