MADRID: Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone menyifatkan kehadiran pemain tengah baharu, Conor Gallagher serta penyerang Argentina, Julian Alvarez berjaya memperkukuhkan pasukannya pada musim ini.
Gallagher, yang menyertai Atletico dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea meledak gol pertamanya dalam saingan La Liga ketika membantu pasukan meraih kemenangan bergaya 3-0 ke atas Valencia, kelmarin.
“Dia tiba dengan penuh semangat dan itu yang kami perlukan di bahagian tengah. Kehadirannya menjadikan pasukan ini lebih baik,” kata Simeone selepas perlawanan.
Tambah pengendali kelahiran Argentina itu, Gallagher sentiasa memberikan komitmen tinggi dan tidak pernah jemu berusaha dalam apa jua situasi.
Selain Gallagher, Alvarez turut mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol pertamanya dalam saingan utama Sepanyol pada minit ke-93, selepas berhijrah dari Manchester City.
“Kami semua menantikan detik ini. Gol tersebut mungkin menjadi permulaan untuk dia menjaringkan lebih banyak gol pada masa akan datang.
“Saya yakin kehidupannya adalah untuk mencetak jaringan dan semangat yang dibawanya pasti akan memberi impak dalam situasi seperti ini,” ujar Simeone.
Alvarez yang tampil cemerlang di penghujung permainan, dianggap bernasib baik apabila berjaya menjaringkan gol ketika harapan pasukan dilihat hampir pudar.
Dalam pada itu, Simeone turut memuji keserasian para pemain baharu seperti Robin Le Normand dan Alexander Sorloth yang dilihat pantas menyesuaikan diri dengan pasukan, sekali gus mewujudkan persaingan positif dalam usaha membawa Atletico ke tahap lebih tinggi.- AGENSI