PETALING JAYA: Kapten Go Ahead Eagles, Mats Deijl kini sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mewakili Harimau Malaya.
Ini selepas pemain berdarah kacukan Malaysia-Belanda itu mengesahkan bahawa proses dokumentasi untuk dirinya mewakili skuad kebangsaan sudah pun selesai sepenuhnya.
Pengumuman berkenaan dibuat oleh Deijl sendiri melalui satu sesi ‘podcast’ yang dikongsikan di Instagram @sameneustijgerbalsem, kelmarin.
Menurut Deijl, segala dokumen yang diperlukan termasuk sijil kelahiran datuknya yang berasal dari Malaysia, telah diterima oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
“Dokumentasi sudah selesai. Semua dokumen yang diperlukan telah saya tunjukkan dan mereka telah pun tiba di tangan pihak berkaitan,” kata Deijl sambil menunjukkan bukti sijil kelahiran datuknya melalui telefon bimbitnya.
Menurut Deijl, dokumen tersebut kini berada dalam tangan FAM dan dirinya juga sudah bersedia untuk membuat debut pertama bersama Harimau Malaya.
“Ya, mereka (FAM) sudah memiliki semuanya. Jadi, secara prinsipnya, semuanya sudah sedia,” tambahnya.
Apabila ditanya sama ada beliau akan bersedia untuk mewakili Malaysia dalam perlawanan antarabangsa pada bulan Disember ini, Deijl menyatakan keinginan kuatnya untuk beraksi.
“Jika boleh, saya mahu. Saya rasa itu akan jadi sesuatu yang sangat hebat, tentu sekali,” jelasnya.
Mats Deijl, yang kini dalam proses akhir mendapatkan pasport Malaysia, dan berkemungkinan besar akan dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya bagi perlawanan persahabatan menentang New Zealand dan pada Oktober ini.
Sebelum ini, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengesahkan Deijl mendakwa berdarah kacukan dan berminat untuk mewakili skuad kebangsaan.-UTUSAN