JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio ‘pening kepala’ untuk membariskan skuad terbaik menentang Kuching City FC, malam ini apabila mempunyai ramai pemain import.
Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, ada pemain import yang perlu diturunkan bagi mendapat minit permainan selain meningkatkan keserasian dalam skuad Harimau Selatan.
Bagaimanapun, Bidoglio menegaskan diaa tidak mengambil mudah tentang pilihan pemain kerana pasukan lawan tidak kurang hebatnya dan menjangkakan satu pertembungan yang sengit di Stadium Sultan Ibrahim.
“Saya jangkakan ia akan menjadi satu pertemuan yang sukar. Sudah tentu saya akan membariskan kesebelasan utama yang terbaik bagi memastikan kemenangan berpihak kepada JDT.
“Dalam masa yang sama, saya juga akan memastikan pemain tertentu mendapat minit permainan mencukupi. Jadi, saya akan menunggu ke hari terakhir untuk memutuskan sama ada membuat penggiliran pemain atau mengekalkan skuad sama menentang Kelantan Darul Darul Naim FC,” katanya.
Bidoglio berkata, mentaliti pemain dan atmosfera di bilik persalinan yang berada pada tahap terbaik dapat menjamin aksi bertenaga semasa di atas padang.
Walaupun momentum kemenangan sangat positif, masih ada ruang yang boleh ditambah baik setelah pasukan akan berdepan satu lagi perlawanan sukar dalam saingan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) selepas perlawanan menentang Kuching City.
“Pada pertemuan sebelum ini, kita sedikit leka setelah selesa mendahului yang memberi ruang kepada pasukan lawan mencipta jaringan. Itu antara aspek yang perlu ditambah baik.
“Bahagian pertahanan kini semakin utuh dan kita bermain dengan lebih kompak ketika bertahan. Prestasi ini perlu dikekalkan setelah kita akan berdepan dengan pasukan yang lebih kuat dalam saingan ACLE,” katanya.
Dalam pada itu, Bidoglio juga memberikan pujian kepada Arif Aiman Hanapi yang kini kembali menemui sentuhan penyudah yang tajam apabila meledak dua gol bertemu kelab China, Shanghai Port dan Kelantan Darul Naim FC baru-baru ini.
“Walaupun dia semakin dahagakan jaringan, Arif Aiman masih boleh menjalankan tugas dengan bermain secara berpasukan, itu yang memberi impak kepada kejayaan pasukan meraih kemenangan,” katanya.-UTUSAN