GIRONA: Barcelona boleh dianggap kembali ke zaman kegemilangan mereka semula selepas mengekalkan rekod lima perlawanan tanpa tewas dalam permulaan sempurna kempen La Liga Sepanyol.
Semalam, anak-anak buah Hansi Flick melakar kemenangan 4-1 ke atas Girona dengan dua gol berjaya dihasilkan oleh bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal untuk memastikan The Catalan meraih tiga mata.
Dua jaringan Yamal pada babak pertama meletakkan Barcelona di laluan tepat untuk meraih kemenangan sebelum Dani Olmo dan Pedri Gonzalez menambah derita pasukan lawan pada babak kedua.
Cristhian Stuani berjaya mengurangkan defisit jaringan buat tuan rumah, yang pada musim lalu anak-anak buah Michel Sanchez menamatkan kempen saingan La Liga di kedudukan ketiga.
Barcelona memperoleh momentum baharu di bawah bekas pengendali Bayern Munich dan Jerman, Flick yang setakat ini dilihat berjaya mempamerkan prestasi terbaik selepas mengambil alih tugas Xavi.
“Saya fikir kamu boleh melihat keyakinan yang kami miliki dan apabila kami memperoleh bola, kami mempunyai kualiti untuk bermain dan mencipta peluang.
“Saya rasa hari ini kami mempunyai banyak peluang untuk meledak satu atau dua lagi jaringan tetapi pada akhirnya, saya sangat gembira dengan prestasi ditunjukkan pasukan,”kata Flick.
Yamal, 17, dan penyerang Robert Lewandowski berganding bahu pada awal saingan sebelum bintang muda yang membantu Sepanyol meraih kejayaan di Euro 2024, memecah kebuntuan jaringan.
Pemain sayap itu berjaya melepasi gawang Girona yang dikawal Paulo Gazzaniga pada minit ke-30 sebelum meledak gol keduanya selang tujuh minit selepas itu.
“Kami bermula dengan sangat fokus, kami memberi tekanan kepada mereka – kami tahu apabila kami memberikan mereka ruang, kami akan berdepan masalah,” kata Flick.
“Kamu melihat gol pertama itu, ia sesuatu yang menakjubkan dari Lamine,” katanya.- AGENSI