Atlet Sukma Melaka juarai SportExcel Malaysian Junior Golf

Atlet Sukma Melaka juarai SportExcel Malaysian Junior Golf

MUHAMMAD IZZUL IRFAN Md. Zaini dan Park Kyoung Won muncul juara kategori lelaki dan perempuan 15-18 tahun di Kejohanan SportExcel Malaysian Junior Golf di Kelab Golf A' Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Atlet Sukan Malaysia (Sukma) Melaka, Muhammad Izzul Irfan Md. Zaini, 15, muncul juara kategori lelaki 15-18 tahun di Kejohanan SportExcel Malaysian Junior Golf di Kelab Golf A’ Famosa Resort di sini, hari ini.

Lebih menarik catatan 13 bawah par 203 pukulan dilakukan Muhammad Izzul melakar sejarah sebagai keputusan terbaik kejohanan, sepanjang tempoh 32 tahun sejak diperkenalkan pada 1992.

Pemain itu beraksi cemerlang pada hari pertama apabila mencatat tujuh bawah par 65 pukulan dan meneruskan aksi cemerlang dengan lima bawah 67 pukulan hari kedua, namun pada aksi hari ketiga hanya mampu melakar catatan satu bawah par 71 pukulan.

Muhammad Izzul berkata, ia adalah permainan terbaiknya sejak menyertai SportExcel Malaysian Junior Golf bermula 2015.

“Dua hari corak permainan saya cukup meyakinkan dengan pukulan tee-off yang cukup sempurna di fairway, pukulan iron dan putting segalanya menjadi. Namun pada hari terakhir agak goyah dengan empat birdie dan tiga bogey untuk catatan 71 pukulan.

“Saya akan cuba mengekalkan momentum ini bila beraksi pada grand final yang dijadualkan berlangsung bulan depan,” katanya ketika ditemui.

Seramai 32 pemain lelaki dan 14 perempuan beraksi pada sirkit keempat di A’ Famosa Golf Resort selepas Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

Naib juara kategori lelaki 15-18 tahun diraih Myeon Kim dengan satu bawah par 215 pukulan dan tempat ketiga menjadi milik Muhammad Ajmal Amin Mohd. Fajr dengan keputusan 218 pukulan.

Kategori lelaki 13-14 tahun diungguli Maru Choi (222 pukulan), Han Jae Ho (233 pukulan) dan Anthony Lim (236 pukulan).

Bagi kategori perempuan 15-18 tahun pula dimenangi Park Kyoung Won (221 pukulan), L. Vikasni (224 pukulan) dan Wang En Xi (231 pukulan).

Sementara itu, johan kategori perempuan 13-14 tahun menjadi milik Nur Batrisyia Balqis dengan catatan 224 pukulan diikuti Ah Reumnuri Seo (237 pukulan) dan Dalia Tang Imran (237 pukulan). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN