MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji daya ketahanan fizikal dan mental Arsenal apabila dapat bertahan dalam tempoh yang lama daripada dikalahkan.
Dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam, kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Etihad biarpun Arsenal beraksi dengan 10 pemain pada separuh masa kedua.
Leandro Trossard dilayangkan kad merah pada masa kecederaan babak pertama dan Guardiola mengakui itu bukan sesuatu perkara yang mudah dilakukan.
“Tahniah kepada Arsenal. Untuk menjadi begitu kuat daripada segi mental, bertahan selama masa permainan yang lama tetapi kami sangat sabar untuk melakukannya.
“Ini adalah salah satu pasukan terbaik di dunia. Dalam banyak perkara, mereka memang sangat baik. Kami mempunyai semangat untuk lawan seperti dua tahun terakhir menentang pasukan yang mahu merampas trofi liga kami.
“Mereka adalah pencabar terbesar dalam dua tahun terakhir. Mereka luar biasa dan kami tahu. Mereka mampu melakukan banyak perkara dengan baik,” kata Guardiola.
Pada aksi tersebut, City terlebih berada di depan menerusi jaringan Erling Haaland seawal minit kesembilan sebelum Riccardo Calafiori menyamakan kedudukan pada minit ke-22.
Pemain Brazil, Gabriel Magalhaes meletakkan The Gunners di hadapan dan ketika seperti berpihak kepada Arsenal, gol lewat permainan John Stones berjaya mencuri satu mata berharga.
“Kami meletakkan kepercayaan bahawa kami boleh menang dalam setiap perlawanan dan tidak berhenti untuk berlawan.
“Masa kecederaan itu menjadi penyelamat. Kami mengawal emosi kami dengan amat baik,” kata Stones. – AGENSI