PETALING JAYA: Pelakon, pengarah dan pelawak popular negara, Datuk Afdlin Shauki bersedia untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Bagaimanapun, Afdlin mengakui masih belum membuat keputusan akhir kerana perlu menyelidiki tentang masalah yang dihadapi skuad Kuala Lumpur (KL) City FC.
“Buat masa sekarang saya tidak boleh komen apa-apa. Cuma apa yang saya boleh cakap, kalau diperlukan (jadi Presiden KLFA) saya sanggup turun ke padang.
“Belum ada keputusan akhir. Ya, saya berminat (jadi Presiden KLFA) tetapi saya perlu selidik dan kena tahu apa masalah yang dihadapi oleh pasukan sebelum bertanding,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, nama Afdlin dikaitkan untuk bersaing dengan Syed Yazid Syed Omar untuk bertanding merebut merebut jawatan Presiden KLFA pada 12 Oktober ini.
Selain Afdlin dan Syed Yazid, terdapat juga khabar angin yang mendakwa seorang lagi pelakon yang kini mengendalikan agensi kerajaan turut berminat merebut jawatan Presiden KLFA.
Terdahulu, Syed Yazid yang juga Naib Presiden KLFA menyatakan kesediaan merebut jawatan Presiden selepas dua calon awal iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menarik diri.
Penarikan diri dua Menteri itu susulan keputusan jemaah kabinet yang tidak membenarkan mana-mana menteri memegang jawatan dalam persatuan sukan.- UTUSAN