PETALING JAYA: Pau Marti Vicente mengakui tidak sabar untuk memulakan tugasnya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya dan dia yakin mampu menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Kim Pan Gon.
Vicente juga gembira dengan pemilihan 26 pemain ke kem latihan pusat dengan sasaran utama adalah untuk memenangi perlawanan menentang Filipina pada kejohanan Pestabola Merdeka pada 4 September ini.
“Saya sangat teruja dengan hari pertama sebagai ketua jurulatih dan tidak sabar untuk bertemu para pemain. Mereka semua ada disini dan saya sangat gembira untuk memulakan tugas sebagai jurulatih kebangsaan.
“Saya juga gembira dengan pemilihan pemain dan ianya sukar buat saya untuk membuat pilihan kerana semuanya dalam keadaan cergas dan kerap bermain dalam saingan liga hingga saya terpaksa ketepikan beberapa pemain tetapi saya kini fokus kepada pemain sedia ada.
“Objektif kami di Pestabola Merdeka adalah untuk menang terlebih dahulu dengan Filipina dalam perlawanan pertama. Saya mahu pemain berikan kerjasama dan saya juga yakin mereka mampu berikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada hari pertama kem latihan pusat.
Dalam masa yang sama, Vicente juga mahu berhati-hati dengan Filipina meskipun mereka kehilangan ketua jurulatih dan situasi itu juga mungkin menjadi masalah buat Malaysia.
“Saya tidak boleh katakan ianya berita baik buat kami tetapi kami hanya perlu fokus kepada diri sendiri sahaja. Filipina adalah pasukan yang sukar dan apabila mereka menukar jurulatih, ia menjadi lebih sukar kerana tidak dapat menjangka persembahan mereka.
“Apa yang penting adalah kita perlu fokus pada persembahan kami serta persiapan dan keputusan yang baik pasti hadir kepada Malaysia,” jelasnya.
Pau Marti mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih selepas Pan Gon meletakkan jawatan secara mengejut dan Pestabola Merdeka akan menjadi ujian pertama buat dirinya sebagai pengendali Harimau Malaya.-UTUSAN