KUALA LUMPUR: Pasukan veteran Selangor berjaya menjulang Piala Sultan Selangor 2024 selepas menewaskan skuad veteran Singapura 2-1 di Stadium Merdeka, sebentar tadi.
Pada aksi itu, skuad veteran Selangor hanya memerlukan tiga minit untuk membuka tirai jaringan selepas rembatan deras legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan menggegar jaring veteran Singapura.
Stadium Merdeka bergema sekali lagi apabila Asmawi Bakiri menggandakan jaringan pada minit ke-18.
Veteran Singapura cuba bangkit menerusi jaringan Mohammed Dalis Supait pada masa kecederaan namun ia sudah terlambat untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
Kali terakhir Piala Sultan Selangor diadakan pada 2019 yang mana pada edisi itu skuad veteran Selangor tewas 0-2 dalam penentuan penalti kepada veteran Singapura sebelum saingan berprestij itu tertangguh ekoran COVID-19.-UTUSAN