ZANDVOORT: Juara bertahan Formula Satu (F1), Max Verstappen berkata, beliau kurang yakin untuk beraksi di laman sendiri di Grand Prix (GP) Belanda esok selepas aksi kurang konsisten musim ini.
Verstappen tidak pernah tewas di hadapan peminatnya sejak F1 kembali ke litar Zandvoort pada 2021 dan menguasai sepenuhnya kejuaraan pemandu tahun lalu dengan 19 kemenangan Grand Prix.
Tetapi selepas permulaan yang kukuh musim ini, pemandu Red Bull itu gagal memenangi empat perlumbaan GP terakhir dan dia berkata, perasaan itu sangat berbeza menjelang perlumbaan esok berbanding musim lalu.
“Tahun lepas datang ke sini, saya lebih yakin bahawa kami mempunyai peluang besar untuk memenangi perlumbaan tetapi begitulah musim ini, anda tahu bahawa persaingan begitu sengit,” tambahnya.
Dengan saingan F1 berbaki 10 perlumbaan, Verstappen menikmati kelebihan 78 mata berbanding pesaing terdekatnya, Lando Norris, tetapi kelihatan beliau berdepan tekanan kerana menerima saingan sengit.
“Kebelakangan ini anda melihat terdapat banyak kereta yang benar-benar memenangi perlumbaan dan kategori pemandu, sudah tentu. Jadi, ia sangat tidak diketahui. Maksud saya, ia sangat dekat.
“Jadi yang pasti, saya tidak akan datang pada hujung minggu ini dengan mengatakan bahawa, ‘ya, kami akan memenangi perlumbaan’. Saya hanya mahu menikmati hujung minggu yang bersih, memahami kereta itu dengan lebih mendalam, belajar daripadanya,” katanya.
Dalam pada itu, Norris memberikan penilaian jujur tentang peluangnya untuk merapatkan jurang dengan Verstappen.
“Sudah tentu ia masih dalam jangkauan, tetapi kami dipisahkan dengan banyak mata dan ia menentang Verstappen iaitu seorang pelumba hebat yang juga juara bertahan.
“Saya tahu ia akan menjadi satu cabaran yang sangat sukar, tetapi dengan cara kami beraksi, dengan bagaimana saya tahu saya boleh keluar dan beraksi,semuanya akan berjalan lancar dan saya masih percaya ia boleh,” kata Norris.-AGENSI