KUCHING: Penutupan Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak yang berakhir kelmarin menyaksikan tuan rumah muncul sebagai juara keseluruhan temasya dwitahunan terbesar negara itu.
Sarawak muncul juara keseluruhan edisi ke-21 itu selepas kali terakhir menjulang kejuaraan genap 30 tahun lalu iaitu pada 1994.
Kontinjen Sarawak meraih 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa mengatasi Wilayah Persekutuan yang mengekori rapat dengan 75 pingat emas, 65 perak dan 72 gangsa.
Selangor berada di kedudukan ketiga dengan 55 emas, 64 perak dan 57 gangsa manakala juara edisi lalu Johor sekadar berada di tangga ke-6 dengan 35 emas, 42 perak dan 58 ganga.
Sementara itu, Sukma kali ini juga menyaksikan lapan atlet muda negara berjaya melepasi had kelayakan ke Sukan SEA Bangkok 2025.
Mereka adalah Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (lumba lari), Jonah Chang Rigan (lontar peluru) dan atlet 20,000 meter (m) jalan kaki, Khor Jing Hong, masing-masing menepati had kelayakan ditetapkan untuk layak secara merit.
Kesemuanya menyerlahkan kemampuan tersendiri apabila mampu menepati syarat kelayakan iaitu menyamai catatan dilakukan atlet yang memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA edisi lepas.
Perenang Selangor, Andrew Goh yang diangkat sebagai Atlet Terbaik Sukma 2024 juga ada sebab untuk dirinya diberi perhatian lebih dengan memandangkan kuakannya berjaya menghadirkan dua rekod kebangsaan.
Selepas ini Sarawak pastinya akan jadi pemegah taruh penting kepada arena sukan negara selepas kerajaan persekutuan sudah pun bersetuju untuk memberikan hak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027.-UTUSAN