PETALING JAYA: Misi memburu emas di Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir dengan Malaysia tidak berjaya meraih pingat yang menjadi idaman sejak sekian lama itu dan kini sasaran beralih di Los Angeles 2028 (LA28).
Situasi itu bermakna, tempoh empat tahun akan datang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh kontingen negara dengan merencanakan perancangan terbaik bagi memastikan impian berkenaan mampu terlaksana.
Justeru, semua pihak terutama atlet sendiri perlu bersiap sedia bermula sekarang dengan meletakkan sasaran emas menjadi keutamaan mereka.
Peranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta badan-badan terlibat menjadi elemen penting dalam menyediakan dana serta pelbagai kemudahan untuk meningkatkan prestasi atlet-atlet negara.
Program Road To Gold (RTG) yang diperkenalkan oleh KBS di bawah menterinya, Hannah Yeoh pada Mac 2023 dilihat sebagai inisiatif terbaik dan hasil mula terbukti di Paris walaupun masih belum mampu menuai emas.
Hal ini kerana, RTG merupakan program jangka panjang yang mensasarkan LA28 sebagai kemuncak kejayaan program berkenaan bagi menamatkan penantian 72 tahun buat Malaysia meraih emas pertama.
Negara mula menyertai temasya terbesar dunia itu pada tahun 1956 dan 1960 sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya.
Berbalik kepada Olimpik Paris 2024, negara Asia Tenggara lain terus cemerlang apabila Filipina berjaya meraih dua pingat emas dan dua pingat gangsa.
Sementara itu, Indonesia terus mencuri perhatian apabila turut membawa pulang dua pingat emas menerusi acara sukan baharu dipertandingkan iaitu sukan memanjat diwakili Veddriq Leonardo manakala Rizki Juniansyah mengungguli angkat berat.
Tidak lupa juga, Thailand membawa pulang satu pingat emas menerusi sukan taekwondo, Panipak Wongpattanakit, malah mereka turut meraih tiga perak dan dua pingat gangsa.
Kini, tanggungjawab merealisasikan impian sukan negara perlu digalas oleh atlet-atlet muda yang menyerlah di Olimpik Paris.
Kesungguhan dipamerkan atlet muda yang mendapat bantuan daripada program RTG meskipun ia baharu setahun lebih ditubuhkan, wajar dipuji selepas mereka menunjukkan peningkatan.
Antara buktinya adalah peningkatan ketara ditunjukkan Aniq Kasdan selepas diserapkan dalam program RTG November lalu.
“Walaupun baru sahaja dimasukkan ke dalam program RTG pada November lalu, beliau sudah menunjukkan peningkatan yang amat ketara, daripada ranking ke-10 kepada ‘top 4’ di Sukan Olimpik.
“Beliau telah menunjukkan bahawa sukan angkat berat mempunyai potensi raih pingat emas di LA2028 nanti,” kata Hannah.
Pencapaian di Paris menyaksikan kontinjen negara berjaya membawa pulang dua pingat gangsa menerusi acara badminton beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.
Sebanyak tiga rekod kebangsaan berjaya dipecahkan di Paris menerusi Aniq Kasdan dalam kategori 61 kilogram (kg) menerusi angkatan snatch 130kg untuk angkatan keseluruhan 297kg, Datuk Azizulhasni Awang dalam acara pecut yang melakukan 9.402 saat pada pusingan kelayakan serta Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam acara pecut wanita (10.709s).
Lima catatan peribadi terbaik turut dicatat atlet negara menerusi Azizulhasni, Shah Firdaus, dan Izzah (basikal trek), Aniq (angkat berat) dan Syaqiera Mashayikh (memanah).
Keputusan itu memberi petanda positif pemburuan pingat emas pertama di Olimpik edisi akan datang dan ia menunjukkan bahawa peranan RTG sangat penting untuk menyediakan atlet ke LA28.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata, perjalanan ke LA28 telah pun bermula menerusi ‘RTG-Fast Track’.
“Pihak MSN telah memulakan program fast track RTG bagi LA28 bagi sukan terjun dan skuasy, mungkin akan ada lagi penambahan kerana MSN akan mengenal pasti atlet yang berpotensi yang berada di ranking top 20 dunia untuk diletakkan dalam program fast track ini nanti.
“Selain itu, pihak MSN akan memperbaiki pelaksanaan program podium yang telah berjalan sejak 2016 lagi agar lebih ramai atlet dipersiapkan ke LA28,” katanya.
Atlet-atlet di bawah ‘fast track’ akan menerima geran latihan individu berbentuk bantuan kejurulatihan khusus, peralatan latihan dan pemulihan, perkhidmatan sokongan perubatan dan sains sukan, pendedahan latihan luar negara serta khidmat kepakaran teknikal dalam sukan masing-masing.
Bagi sukan skuasy, seramai empat orang atlet iaitu S. Sivasangari, Ng Eain Yow, Aifa Azman dan Aira Azman telah terpilih dan program latihan peribadi mereka telah diperincikan.
Tidak mustahil tempoh empat tahun sebelum LA28, program RTG mampu melonjakkan prestasi atlet negara pada tahap tertinggi sekali gus mencerahkan peluang mereka meraih emas.-UTUSAN