RTG beri manfaat besar kepada atlet

RTG beri manfaat besar kepada atlet

Pearly Tan-M. Thinaah perlu berehat sementara dalam memulihkan fizikal dan mental.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet-atlet yang berada di bawah Program Road To Gold (RTG) mengakui banyak manfaat dinikmati mereka dalam fasa persediaan, semasa dan selepas kejohanan.

Buktinya dapat dilihat di Paris 2024 apabila beberapa kejutan dipamerkan atlet negara antaranya penampilan sulung gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang berjaya melepasi kumpulan maut dan terus melangkah ke pentas separuh akhir sekali gus memahat sejarah baharu buat badminton negara.

Tetapi sayang mereka tumpas kepada pasangan No.1 dunia dari China, Qing Chen-Yi Fan di separuh akhir dan impian meraih gangsa juga musnah apabila tewas kepada pasangan dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida namun pengajaran cukup bermakna dipelajari mereka menjelang persediaan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pada masa sama, kekuatan mental setiap pemain negara juga dilihat cukup kuat di Paris apabila atlet dalam tiga kategori acara badminton dibawah RTG berjaya melepasi suku akhir iaitu Pearly-Thinaah dalam acara beregu wanita, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Sebanyak tiga rekod kebangsaan juga berjaya dipecahkan di Paris menerusi Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 61 kilogram (kg) menerusi angkatan snatch 130kg untuk angkatan keseluruhan 297kg, Datuk Azizulhasni Awang dalam acara pecut yang melakukan 9.402 saat pada pusingan kelayakan, dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam acara pecut wanita (10.709s).

Lima catatan peribadi terbaik turut dicatat atlet negara menerusi Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom, dan Izzah (basikal trek), Aniq (angkat berat) dan Syaqiera Mashayikh (memanah).

Malah, dua gangsa dilepaskan oleh Malaysia selepas Shah Firdaus terjatuh pada aksi final apabila terlibat dalam pelanggaran dengan pelumba Jepun manakala Aniq Kasdan hanya dibezakan 1kg untuk menggenggam pingat.

Edisi Paris menyaksikan, kontinjen negara membawa pulang dua pingat gangsa menerusi acara badminton beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.

Keputusan itu memberi petanda positif pemburuan pingat emas pertama di Olimpik edisi akan datang.

Justeru, empat tahun bermula sekarang menjelang Olimpik Los Angeles 2028, atlet-atlet yang mendapat sokongan penuh menerusi program RTG dilihat memiliki potensi besar merealisasikan misi utama Malaysia iaitu membutirkan pingat emas pertama negara di temasya terbesar dunia itu.

Sementara itu, Thinaah mengakui program RTG telah memberi banyak manfaat kepada dirinya dan pasangannya Pearly di Olimpik Paris.

“Saya rasa sangat gembira dan bersyukur apabila disenaraikan dalam program RTG ini, namun pada masa sama kami mahu berikan sepenuh fokus bagi memperbaiki setiap kelemahan.

“Saya fikir mereka sudah lakukan tugas yang sangat baik dalam memberi sokongan moral serta panduan kepada kami,” kata Thinaah.

Dalam pada itu, Aniq Kasdan menegaskan bahawa RTG menyediakannya pelbagai manfaat untuk dirinya membuat persediaan dalam penampilan sulungnya di Olimpik.

HANNAH Yeoh bercakap dengan Mohamad Aniq Kasdan selepas acara angkat berat,Sukan Olim Paris 2024. IHSAN FB HANNAH YEOH

Aniq, 22, yang disenaraikan dalam program berkenaan pada Oktober tahun lalu berkata, RTG banyak membantunya membina keupayaan diri bukan sahaja dari sudut pembentukan fizikal, malah mentaliti di temasya berintensiti tinggi itu.

“Program RTG ini banyak membantu dari sudut sokongan yang diperlukan oleh saya. Saya memperoleh keutamaan daripada apa yang saya minta contohnya sokongan dari ISN (Institut Sukan Negara), psikologi dan fisioterapi.

“MSN (Majlis Sukan Negara) pun banyak memberikan manfaat apabila berada dalam RTG contohnya berkaitan tempat latihan yang diperlukan. Menerusi RTG, tindakan itu lagi pantas dan setiap permintaan itu (proses) cepat,” jelas Aniq.

Jawatankuasa RTG percaya bahawa kontinjen akan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk mencapai ‘emas’ pada temasya akan datang kerana terdapat beberapa peningkatan ketara oleh atlet yang akan meletakkan mereka pada kedudukan terbaik pada temasya akan datang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN