LIVERPOOL: Liverpool membawa masuk Federico Chiesa dari Juventus dengan harga murah 12.5 juta pound (RM59 juta) selepas pemain Itali itu mengalami kecederaan.
Pemain berusia 26 tahun itu menyertai Liverpool dengan kontrak empat tahun dengan bayaran awal sebanyak 10 juta pound (RM47 juta), manakala tambahan 2.5 juta pound (RM11 juta) bergantung kepada prestasi pasukan sepanjang dia berada di Anfield.
Chiesa merupakan salah seorang bintang yang sedang meningkat dalam bola sepak Eropah selepas peranannya dalam membantu Itali memenangi Kejohanan Eropah (Euro) pada 2020.
Namun, kariernya telah terjejas oleh kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya pada Januari 2022 serta beberapa masalah kecergasan sejak itu.
“Saya terus bersetuju kerana saya tahu sejarah kelab ini, saya tahu apa yang kelab ini wakilkan buat penyokong. Saya sangat gembira dan tidak sabar untuk memulakan,” kata Chiesa.
Kehadirannya mempertajamkan jentera serangan Liverpool yang ketika ini dibarisi Mohamed Salah, Diogo Jota, Luis Diaz, Darwin Nunez dan Cody Gakpo.
Chiesa telah memasuki tahun terakhir kontraknya di Turin dan tidak dipilih oleh jurulatih baharu Juventus, Thiago Motta, dalam dua perlawanan pertama di bawah kendaliannya.
Dia menjadi satu-satunya pemain baharu Liverpool dalam jendela perpindahan ini dan pemain pertama yang dimasukkan dalam skuad Arne Slot untuk musim ini.
Satu lagi pembelian menyaksikan penjaga gol Georgia, Giorgi Mamardashvili dari Valencia telah dipersetujui awal minggu ini tetapi hanya akan menyertai The Reds bermula musim depan.-AGENSI