PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan bahawa pihaknya boleh menyaman bekas pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon.
Bagaimanapun Hamidin menjelaskan keputusan itu tidak diambil kerana FAM mengenang jasa pengendali dari Korea Selatan itu sepanjang dua tahun lebih membimbing Harimau Malaya.
Hamidin juga mengakui sedih dan kecewa dengan tindakan Pan Gon yang didakwa tidak jujur ketika memberikan alasan untuk meletakkan jawatan pada 16 Julai lalu sehingga peminat menyalahkan FAM.
“Ya (FAM kenang jasa Pan Gon), walaupun hati ini pedih. Kalau ikut hati, saya tak tahan, dia tamatkan saja kontrak, saya memang boleh saman dia. Tetapi saya kenang jasa dia juga.
“Hanya kekesalan saya, dia patut berlaku jujur dengan saya dan FAM. Dia (patut maklumkan) dapat tawaran, jadi kita boleh selesai cara baik. Peminat tidak boleh salahkan FAM, kami sudah buat yang terbaik untuk Pan Gon.
“Dia dapat tawaran lebih baik, dia nak pergi juga. Namun, atas dasar dia pernah berjasa kepada FAM, kalau tidak saya memang akan hantar surat saman untuk dia bayar balik (pampasan) setahun setengah.
“Kalau nak kata sedih, memang sedih kerana saya yang ambil dia dengan sokongan Exco FAM. Mungkin peminat dekat luar sana tidak tahu. Kalau ikutkan dari segi profesional, kita boleh minta pampasan untuk setahun setengah.
“Kekecewaan saya hanya dia tidak menyatakan kebenaran. Dia sepatutnya terbuka dengan media dan dengan peminat semua supaya FAM menjadi mangsa (kritikan peminat),” katanya.
Sebelum ini, Hamidin mendedahkan sandiwara yang berlaku sebelum FAM bersetuju melepaskan Pan Gon dengan pengendali berusia 55 tahun itu pada awalnya memberi alasan masalah keluarga untuk dia meninggalkan Harimau Malaya.
Paling menyedihkan apabila segelintir peminat menyalahkan FAM dan menjadikan isu pemergian Pan Gon sebagai antara alasan untuk mereka memboikot Pestabola Merdeka 2024 ada 4 dan 8 September ini.
Selain itu, Hamidin turut mendedahkan Pan Gon ada menghubunginya, namun beliau enggan menjawab kerana terlalu kecewa dengan tindakan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu.-UTUSAN