PETALING JAYA: Keputusan untuk melarang anggota pentadbiran kerajaan termasuk menteri menjadi presiden bagi mana-mana persatuan sukan adalah satu tindakan tepat.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, sudah tiba masanya persatuan sukan di negara ini diurus tadbir oleh golongan yang tidak mempunyai kaitan dengan politik.
“Saya sokong dengan keputusan tersebut kerana kita mahu melihat sukan negara ke arah yang lebih maju. Jika ia mempunyai banyak positif daripada negatif maka apa salahnya.
“Di peringkat kementerian pula, jika peneraju sukan dipimpin oleh menteri atau timbalan menteri ia akan menimbulkan kecelaruan apabila mesyuarat diadakan.
“Itu merupakan satu kerisauan yang kita mahu elakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak dapat meneruskan hasrat untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
KLFA dijadual mengadakan pemilihan jawatankuasa baharu pada September ini selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad meletakkan jawatannya pada Mac lalu.
Sementara itu, seorang lagi pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustaffa turut menganggap keputusan tersebut adalah sangat wajar selepas tular video bekas ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid membawa pistol ke sidang media.
“Sangat wajar untuk menjauhkan ahli politik daripada memimpin persatuan sukan kerana saya fikir itu keputusan yang tepat. Sebagai contoh, bekas ahli Parlimen Kapar, Sani membawa pistol ke sidang media, itu tidak boleh diterima. Itu menunjukkan ahli politik ini ada banyak musuh,” katanya.
Terdahulu, tular video Abdullah Sani yang juga pemangku Presiden KLFA, membawa pistol pada sidang media di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
Dalam penjelasannya, Abdullah Sani mengakui membawa pistol ke mana sahaja sambil menegaskan dia memiliki lesen senjata api sejak 2012.-UTUSAN