PETALING JAYA: Atlet para negara bagi acara lompat jauh T12 (masalah penglihatan), Johnathan Wong yakin teknik lompatan baharunya mampu menghadirkan kilauan pingat di Sukan paralimpik Paris 2024.
Atlet kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu menyasarkan kedudukan podium selepas mempraktikan teknik baharu bersama jurulatihnya untuk memastikan jarak lompatannya bertambah.
Johnathan dalam masa yang sama juga mengakui hadir ke Paris untuk mengubati kekecewaannya berikutan dibelenggu kecederaan pada edisi lalu di Tokyo, Jepun.
“Pada penampilan sulung (Tokyo 2020) saya tidak mempamerkan aksi terbaik kerana kecederaan dan akhirnya saya mendapat tempat kelima di final. Itu memberi trauma kepada saya dan mengambil masa untuk saya pulih.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya dapat mempelajari teknik lompatan baharu. Saya harap dapat mempamerkan aksi terbaik melalui teknik ini,” kata Johnathan.
Sementara itu, semangat pelari 400 meter T20 negara, Ammar Aiman Nor Azmi semakin membara apabila prestasinya ketika ini berada dalam tahap tertinggi untuk memecah dominasi pelari terbaik dunia.
Pemegang rekod Asia itu berkata, beliau berjanji untuk membuktikan kredibilitnya sebagai pelari ketika terbaik dunia ketika ini dalam usaha membawa pulang pingat emas ke tanah air.
“Kalau nak dibanding ketika Terbuka Paris dan Olimpik perasaannya sungguh berlainan. Ketika kejohanan dunia saya mendapat gangsa itu tidak memuaskan saya. Saya mahukan emas pada Paralimpik ini.
“Selain itu, saya juga berharap dapat memperbaharui catatan peribadi 46 saat (s). Jadi saya kena beri latihan yang sebaiknya dan lebih berdisiplin,” kata Ammar.
Untuk rekod, Ammar mencipta rekod Asia dengan catatan 47.60s ketika Sukan Para Asia 2023 di Hangzhou sekali gus merangkul pingat emas pada masa itu.-UTUSAN