PETALING JAYA: Penyertaan semula Singapura dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dijangka mampu memberi nilai tambah dan merancakkan semula liga bola sepak di negara ini.
Kali terakhir negara jiran itu beraksi dalam kancah Liga M adalah pada 2015 menerusi Lions XII iaitu kelab yang ditubuhkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Kehadiran semula Singapura dalam lanskap bola sepak negara pastinya dinantikan peminat tempatan dan bekas pemain Selangor, Datuk Dollah Salleh percaya ia dapat merancakkan kemeriahan Liga M.
“Kemasukan Singapura dalam Liga M banyak memberi impak positif. Suasana orang dulu-dulu lebih-lebih lagi perlawanan yang membabitkan pasukan Selangor dan Singapura.
“Itu memang kita idam-idamkan, kalau boleh Singapura masuk semula dalam Liga M,” katanya kepada pemberita selepas aksi Piala Sultan Selangor 2024 di Stadium Merdeka, baru-baru ini.
Untuk rekod, Singapura menjadi pasukan kedua paling banyak memenangi Piala Malaysia selepas Selangor apabila menjulang trofi kejohanan itu 24 kali manakala Selangor 33 kali.
Singapura juga pernah menjuarai Liga M sebanyak dua kali pada 1985 dan 1994 manakala Lions XII memenangi Liga Super pada 2013 sebelum ia didominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) selama 10 musim berturut-turut.
Turut senada dengan Dollah adalah rakan karibnya, Datuk Zainal Abidin Hassan juga bekas pemain Selangor dengan menyifatkan Singapura adalah sebahagian daripada catatan sejarah bola sepak negara.
“Biarlah kedua-dua persatuan bola sepak masing-masing fikir apa yang baik untuk bola sepak khususnya untuk Malaysia dan Singapura.
“Namun, saya tahu penyokong masih lagi merindui pasukan Singapura yang dahulunya adalah satu-satunya pasukan yang gagah berada dalam Liga M,” kata Zainal.-UTUSAN